ROMPIN: Biarpun reda dengan nasib menimpa dua anaknya yang lemas di Sungai Rekoh di sini, namun, bapa kepada kanak-kanak berkenaan melahirkan rasa kecewa terhadap keadaan jambatan gantung di kampung itu yang disifatkannya terlalu usang dan teruk.
Masari Sardi, 40, berkata, jambatan gantung itu perlu ditukar kepada jambatan baharu bagi memastikan tiada lagi nyawa melayang selepas ini.
“Siapa yang tidak sedih apabila dua anak kandung saya pergi sekelip mata, isteri saya, Liswati Ali, 38, sampai ke hari ini tidak dapat melupakan kejadian itu.
“Saya harap pihak berkenaan memandang serius perkara ini dengan menggantikan jambatan tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Sementara itu, Liswati ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia kelihatan masih bersedih dengan kejadian yang menimpa dua anaknya.
Dia masih tidak mampu untuk berkata-kata kerana masih mengenangkan nasib dua anaknya yang hilang sekelip mata dalam kejadian malang itu.
Bagi menghilangkan rasa sedih, pasangan berkenaan juga telah membungkus segala barangan milik anak mereka kerana akan terkenang jika melihatnya. – UTUSAN