MARAN: Dahulu telinganya bagaikan memakai anting-anting dan mulutnya sangat kecil kesan komplikasi terbakar ketika berusia dua tahun.
Kini Iqram Hashim, 12, dari Felda Jengka 23, di sini boleh tersenyum lebar kerana keadaan telinga dan mulutnya kembali normal seperti kanak-kanak lain selepas menjalani pembedahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ibunya, Suraya Abdul Manan, 41, berkata, Iqram anak sulung daripada dua adik-beradik dibedah pada 25 Mac lalu selama hampir 12 jam di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh, dekat sini.
“Pembedahan berjalan lancar dan doktor memuji ketahanan semangat Iqram kerana dalam masa empat hari boleh pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di Felda Jengka 23 di sini semalam.
Suraya kini tinggal di rumah ibu bapanya, Manan Ahmad, 65, dan Rozimah Awang, 61, di tanah rancangan berkenaan setelah suaminya meninggal dunia akibat komplikasi jantung tiga tahun lalu.
Menurutnya, walaupun pembedahan berjaya tetapi Iqram perlu memakai topeng muka dan acuan telinga setiap masa kecuali waktu mandi.
Katanya, anaknya perlu berbuat demikian mungkin dalam tempoh masa tertentu bagi mengelakkan daging di bahagian berkenaan tumbuh semula.
“Bagaimanapun Iqram sangat gembira kerana kini dia boleh bercakap seperti orang lain malah tidak henti-henti bercakap seolah-olah melepaskan geram. Sebelum ini, percakapannya terganggu dan kurang jelas berikutan ruang mulut yang sempit,” katanya.
Katanya, pada masa ini, Iqram perlu menjalani rawatan susulan sebulan sekali di Hoshas.
Pada 28 Oktober tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan penderitaan dialami Iqram yang mana keadaan telinganya seakan-akan memakai anting-anting dan mulut menjadi kecil kesan komplikasi terbakar ketika berusia dua tahun.
Kejadian itu berlaku pada 26 November 2011 sewaktu ibunya membakar sampah kira-kira pukul 4 petang di belakang rumahnya di Felda Jengka 23.
Tanpa diduga timbunan sampah itu tiba-tiba meletup dan Iqram ketika itu berusia dua tahun yang berada kira-kira satu meter disambar api. – UTUSAN ONLINE