PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad diarahkan
melakukan siasatan penuh untuk mengenal pasti punca kemalangan melibatkan sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru, malam ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan yang tegas harus diambil dengan segera.
Beliau menegaskan, keutamaan sekarang harus diberikan kepada mangsa-mangsa kemalangan.
“Saya difahamkan bahawa petugas-petugas keselamatan dan kecemasan sedang berada di tempat kejadian.
“Semoga kerja-kerja penyelamatan dipermudah dan penumpang terlibat selamat, manakala mereka yang cedera diberikan rawatan segera.
“Saya telah mengarahkan semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan mangsa mendapat rawatan yang menyeluruh memandangkan kita juga berada dalam gelombang pandemik Covid-19 yang sedang meningkat naik, ” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Dalam insiden itu, dua buah tren LRT Laluan Kelana Jaya bertembung mengakibatkan beberapa penumpang mengalami kecederaan.
Prasarana menerusi kenyataan memaklumkan bahawa kemalangan melibatkan tren bernombor 40 dan 81.
“Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan.
“Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” katanya.
Video dan gambar mengenai insiden itu turut tular di media sosial yang memperlihatkan penumpang bergelimpangan dan ada yang mengalami kecederaan parah. – UTUSAN ONLINE