Individu bergejala, rentas negeri dilarang solat di masjid - Utusan Malaysia

Individu bergejala, rentas negeri dilarang solat di masjid

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL (kanan) dan Mohd Nazim Mohd Noor selepas berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Asy-Syakirin, Oran, Mata Ayer, Perlis semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Individu bergejala, berisiko dijangkiti Covid-19, rentas negeri dilarang  menyertai solat Jumaat dan solat fardu lima waktu selain semua aktiviti pengimarahan di seluruh masjid di negeri ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap ketua keluarga mestilah bertanggungjawab memastikan setiap ahli keluarga mereka yang pulang sama ada dengan kebenaran ataupun tidak agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin diri sekali gus mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain.

“Perkara ini termasuklah kes-kes merentas sempadan dengan kebenaran seperti urusan bekerja walaupun yang keluar masuk pada setiap hari atau hujung minggu, isu kematian, ziarah keluarga sakit dan sebagainya.

“Perkara itu perlu diberikan perhatian oleh ketua keluarga agar tidak menjadi punca penularan tempatan. 

“Arus pertama kepulangan anak Perlis di perantauan ialah sebelum Aidilfitri baru-baru ini dan arus kedua dijangka tiba pula apabila yang bermastautin atau belajar di Perlis kembali dari kampung halaman masing-masing,” titah baginda dalam  kenyataan hari ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata, pihak pengurusan masjid berhak membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang gagal mematuhi SOP.

“Mereka yang berstatus pesakit bawah siasatan (PUI) dan mereka yang ada risiko untuk dijangkiti juga adalah tidak dibenarkan menghadiri aktiviti pengimarahan di masjid.

“Pihak MAIPs memberikan ruang kepada aktiviti pengimarahan masjid secara terhad dengan disyaratkan pematuhan ketat oleh semua jemaah dan ia mungkin boleh ditarik balik sekiranya tiada kerjasama dan kawalan d semua pihak,” titah baginda.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, sebagai langkah pencegahan dan ikhtiar mengelakkan penularan wabak, pematuhan kepada semua SOP adalah diperketatkan.

“Semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan seperti memakai pelitup muka, sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter pada setiap masa dan membawa sejadah sendiri bersaiz standard.

“Selain itu, mereka juga harus mengambil wuduk sebelum ke tempat solat, tidak melaksanakan  kontak fizikal seperti bersalaman serta melaksanakan rekod penjejakan sosial dengan mengimbas kod QR MySejahtera atau mendaftar pada buku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya