MELAKA: Seorang ibu tunggal anak tiga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 19 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah hampir RM1 juta bagi kegunaan peribadi, pada tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Loo Mei Lin, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menggunakan satu nombor akaun sebagai peralatan kesalahan berkaitan aktiviti haram.
Dalam pertuduhan dua hingga tujuh, tertuduh didakwa menerima wang dengan jumlah keseluruhan RM962,845.21 yang merupakan hasil aktiviti haram melalui akaun miliknya daripada mangsa, Teh Eet Meng, 55.
Manakala pertuduhan lapan sehingga 19, tertuduh didakwa menggunakan wang berjumlah keseluruhan RM273,225.84 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram bagi membayar kad kredit OCBC Bank, Public Bank, RHB Bank dan HSBC Amanah Malaysia Berhad miliknya serta membeli polisi-polisi insuran atas nama ahli keluarga.
Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah pada 29 Disember 2014 sehingga 30 Julai 2015.
Tertuduh yang bekerja sebagai ahli perniagaan itu didakwa mengikut Subseksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal mencadangkan jaminan RM60,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa.
Peguam Micheal Tan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya berdepan dengan dua pertuduhan lain dan menjadi ibu tunggal kepada tiga orang anak sejak 20 tahun lalu.
Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 serta membenarkan semua syarat tambahan dan menegaskan jaminan itu akan ditarik balik serta-merta sekiranya dia didapati mengganggu mangsa.
Maziah kemudian menetapkan tarikh 4 Jun depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN