Hospital UiTM Puncak Alam persediaan tangani Covid-19

Kapasiti wad di Hospital UiTM Puncak Alam ditingkatkan untuk tangani Covid-19

DR. ADHAM Baba (tengah) melihat kemudahan yang terdapat di Hospital UiTM Puncak Alam dalam lawatan kerjanya selama dua jam hari ini. - IHSAN KKM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dalam menghadapi kes peningkatan Covid-19, Kementerian Kesihatan telah membuat persediaan dengan meningkatkan kapasiti wad di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

Dalam lawatan kerja di hospital tersebut diketuai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, pihaknya melakukan tinjauan selama dua jam.

Tinjauan itu adalah sebahagian persediaan bagi menghadapi peningkatan kes Covid-19. 

Kementerian Kesihatan menerusi laman sosial Facebook rasmi menyatakan, antara persediaan yang telah dilaksanakan adalah meningkatkan lagi kapasiti wad serta katil ICU menerusi langkah repurpose fasiliti kesihatan serta kerjasama kolaboratif dengan hospital pengajar seperti Hospital UiTM Puncak Alam. 

“Malah, penyediaan wad ICU dan keperluan logistik di hospital tersebut adalah bagi membantu kerajaan menangani Covid-19 secara bersepadu. 

“Selain itu, fasiliti yang ada di hospital ini juga dilihat agar semuanya dapat dikongsi secara optimum dan membincangkan kerjasama strategik bersama UiTM bagi meningkatkan keupayaan negara menangani wabak Covid-19 melalui strategi ‘whole of government approach’,” kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, Hospital UiTM Puncak Alam beroperasi bermula 5 April lalu dan dijangka memberi manfaat kepada seramai 500,000 penduduk Puncak Alam.

Hospital bernilai RM599 juta itu telah mula dibina pada 11 April 2017 siap dalam tempoh yang ditetapkan.

Hospital yang mempunyai 10 tingkat dengan kapasiti 400 buah katil, 98 klinik pakar, 17 buah dewan bedah, 17 wad dan 16 kerusi dialisis serta fasiliti pembelajaran yang boleh memuatkan 750 pelajar pada satu-satu masa.

Antara perkhidmatan yang disediakan adalah pembedahan perut dan otopedik, pembedahan khusus (plastik dan rekonstruksi), perubatan geriatrik serta lain-lain lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN