KUANTAN: Seorang pengarah syarikat di sini kerugian RM210,000 akibat diperdaya menyertai pelaburan mata wang asing.
Kejadian bermula sekitar Oktober tahun lalu selepas lelaki berusia 40 tahun itu berkenalan dengan wanita bernama Alice dari Hong Kong melalui aplikasi Tinder.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, Alice memperkenalkan mangsa kepada lelaki bernama Li yang dikatakan sebagai pengurus pelaburan.
“Selepas perkenalan itu, Li meminta mangsa memasukkan RM83,000 ke dalam akaun bank seorang wanita tempatan untuk membuka akaun pelaburan di platform dagangan mata wang.
“Pada 17 Disember tahun lalu, mangsa menghubungi Li untuk menutup akaun pelaburan tersebut kerana tidak lagi berminat melabur.
“Li bagaimanapun mengarahkan mangsa memasukkan wang RM21,000 ke dalam akaun sebuah syarikat untuk cagaran keselamatan atas pelaburan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, mangsa seterusnya diminta memasukkan tambahan RM30,000 ke dalam akaun yang sama sebagai yuran pembekuan.
“Tidak berakhir di situ, pada 4 Januari lalu pula mangsa sekali lagi diminta memasukkan RM43,000 dan RM33,000 bagi bayaran verifikasi keselamatan kewangan serta yuran ‘over night’.
“Pada 27 Januari pula, mangsa dimaklumkan bahawa Li telah ditangkap dan diminta membayar RM86,000 sebagai penjamin,” katanya.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun tidak membuat bayaran tersebut sebelum tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE