KUANTAN: Hasrat seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) untuk mendapatkan rantai emas melalui pembelian secara dalam talian tidak kesampaian apabila menjadi mangsa penipuan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa dari Rompin dekat sini terpedaya melihat iklan lelongan emas menawarkan harga murah di Instagram ‘kedai emas lelong official’.
“Mangsa membeli seutas rantai tangan emas dengan harga RM217 dan telah berurusan dengan seorang lelaki dipercayai warga Indonesia melalui aplikasi WhatsApp.
“Guru berusia 34 tahun berkenaan membuat pembayaran dua kali ke dalam dua akaun bank berbeza semuanya berjumlah RM1,067 pada 25 Mei lalu,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, mangsa menyedari ditipu selepas gagal menghubunginya selepas selesai proses pembayaran.
Mohd. Wazir berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin pada 26 Mei lalu dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN