JEMPOL: Seorang guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM16,000 selepas wang dalam akaun bank CIMB miliknya berkurangan melalui dua transaksi, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang semalam ketika mangsa iaitu wanita berusia lingkungan 50-an berada di rumahnya di Felda Serting Hilir.
Mangsa kemudian menerima mesej pesanan ringkas daripada CIMB Bank memaklumkan ada transaksi sebanyak RM 10,000 ke dalam akaun milik Teh Liong Tat dengan nombor akaun 8001666017.
Menurutnya, mangsa kemudian menerima satu mesej lagi memaklumkan transaksi sebanyak RM6,000 ke dalam akaun Maybank milik Hew Kuok Weng dengan nombor akaun 514356579954.
“Mangsa bagaimanapun tidak mengenali kedua-dua penerima akaun berkenaan. Mangsa menghubungi pihak CIMB bank dan bertanya berkenaan hal ini dan diberitahu terdapat dua pengeluaran berlaku melalui perbankan internet.
“Mangsa segera membuat laporan polis bagi merujuk kepada pihak CIMB Bank dan untuk tindakan pihak polis kerana wang di dalam akaun mangsa telah dikeluarkan tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, hasil siasatan awal melalui semakan akaun dan nombor telefon yang terlibat pada Commercial Crime Intelligence System (CCIS) didapati akaun CIMB milik Teh Liong Tat telah mempunyai rekod siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 7 April lalu bagi jenayah penipuan pelaburan mata wang digital.
Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati mangsa tidak pernah mengalami kehilangan kad bank CIMB bagi akaun tersebut.
“Mangsa juga tidak pernah menyerahkan apa-apa akses perbankan akaun CIMB miliknya kepada mana-mana pihak lain.
“Permohonan ke pihak bank-bank telah dilakukan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan transaksi perpindahan yang berlaku dan tindakan selanjutnya akan diambil selepas menerima dokumen daripada pihak bank-bank berkenaan.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer (AJK) 1997,” katanya. – UTUSAN ONLINE