GEORGETOWN: Parti Gerakan Pulau Pinang mencadangkan penggantungan semua pelaksanaan dasar baharu berkaitan penjualan ayam segar oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sehingga isu itu diselesaikan melalui persetujuan bersama semua pihak terlibat.
Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Gerakan negeri, H’ng Khoon Leng berkata, cadangan penggantungan pelaksanaan dasar baharu itu telah dikemukakan pihaknya kepada Ketua Menteri, Chow Koon Yeow melalui sepucuk surat yang dihantar melalui e-mel.
Katanya, sehingga hari ini tidak ada keputusan dibuat oleh MBPP ke atas cadangan-cadangan yang disuarakan oleh pihak yang terkesan dengan isu membabitkan skandal pembekalan ayam itu.
“Oleh itu, kami mencadangkan kerajaan negeri menggantung pelaksanaan wajib penggunaan peti sejuk beku (chiller) di pasar basah di bahagian pulau.
“Kami juga menggesa pembinaan bangunan baharu di Batu Lanchang untuk menyimpan dan mengedar ayam sejuk beku dikaji semula serta membenarkan penjualan dan penyembelihan ayam segar seperti sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 8 April lalu, Parti Gerakan Pulau Pinang dan Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang menyerahkan memorandum bantahan kepada Kon Yeow berhubung isu pembekalan ayam dan penggunaan peti sejuk yang didakwa membebankan peniaga ayam di bahagian pulau negeri ini.
Selain penyerahan memorandum bantahan di Komtar itu, lebih 30 peniaga ayam turut berkumpul secara aman bagi menyuarakan bantahan terhadap larangan aktiviti penyembelihan di premis MBPP yang akan dikuatkuasakan bulan depan.
Menurut Khoon Leng, pihaknya berharap kerajaan negeri yang sepatutnya berorientasikan rakyat memperbetulkan kontroversi yang timbul dalam isu bekalan ayam itu.
“Kerajaan negeri juga sepatutnya meringankan beban peniaga ayam yang ketika ini amat getir dan dalam masa sama mereka perlu memenuhi permintaan kebanyakan pengguna yang lebih gemar membeli ayam segar di pasar,” katanya.