KLANG: Empat individu rentung selepas kenderaan dinaiki mereka terbakar selepas terjatuh dan terbabas di bawah jejambat Lebuhraya Lembah Klang Selatan ( SKVE) susur keluar ke Telok Panglima Garang di sini, awal pagi tadi.
Identiti kesemua mangsa terlibat belum dapat dikenal pasti susulan keadaan mayat yang rentung.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 1.11 pagi sebelum tiba empat minit kemudian.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, sebuah kenderaan jenis Mercedes jenis tidak dapat dipastikan yang bernombor pendaftaran VFA 9133 sedang terbakar.
“Siasatan awal mendapati kereta tersebut terjatuh dan terbabas ke bawah jejambat lebuh raya tersebut serta terbakar sepenuhnya.
“Selepas selesai pemadaman, kita menemukan empat mangsa berada di dalam kenderaan tersebut. Namun, identiti dan jantina kesemua mangsa tidak dapat dipastikan kerana keadaan mangsa rentung sepenuhnya.
“Kerja-kerja mengeluarkan kesemua mangsa telah selesai dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Norazam, api dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 1.50 pagi.
“Anggota yang membuat pemadaman menggunakan aliran hosereel pam jentera dan mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan pemotong hidraulik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE