KUALA LUMPUR: Buli siber bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang awam tetapi golongan artis turut menerima nasib yang sama.
Menyedari peningkatan statistik yang membimbangkan, Ketua Pegawai Operasi Anggun Kiran Sdn Bhd dan Pengasas Himaya Premium Hijab Medical Mask, Datuk KK Chua melancarkan kempen Anti Buli Siber dengan melantik empat artis tempatan popular sebagai duta, Wany Hasrita, Erra Fazira, Elfira Loy, dan Amira Othman.
“Saya melihat masing-masing mempunyai pengaruh yang kuat di media sosial dan malah saya percaya mereka juga pernah mengalami pengalaman menjadi mangsa buli siber. Menggunakan pengaruh artis, suara mereka dapat didengari sebagai langkah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai dengan lebih meluas.
“Bagaimanapun, artis kita yang menjadi mangsa buli siber masih terkawal berbanding artis di Korea apabila ramai yang gagal berhadapan dengan situasi itu sehingga membunuh diri. Ada artis yang terpaksa mendiamkan diri dan tidak aktif dalam laman sosial buat seketika. Ada yang takut keluar rumah.
“Jadi saya mahu artis dan orang awam sama-sama mengatasi buli siber ini dan jangan takut untuk laporkan kepada pihak berkuasa,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Untuk rekod, Wany pernah menjadi mangsa buli sehingga mengambil langkah menyahaktifkan akaun Instagramnya. Manakala, Amira Othman pula pernah dituduh mengambil pil yang menyebabkan dia dimasukkan ke hospital, namun dia sebenarnya sakit akibat otot pahanya didapati terkoyak dan berdarah selepas kali pertama menyertai kelas senam berbasikal indoor.