Ekonomi Malaysia diunjur bertumbuh 5.6 peratus - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia diunjur bertumbuh 5.6 peratus

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka mampu mencatatkan pertumbuhan kukuh sehingga 5.6 peratus tahun ini, meskipun berdepan gangguan pemulihan akibat lonjakan kes jangkitan Covid-19 sejak akhir tahun lalu.

Ia lebih rendah berbanding jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) pada enam hingga 7.5 peratus.

Organisasi penyelidikan ekonomi, ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) menjangkakan pertumbuhan tersebut berdasarkan pemulihan semula dalam ekonomi di peringkat global dan permintaan domestik negara

Ia memandangkan negara terus berusaha mengekang penularan jangkitan Covid-19 serta program imunisasi yang sedang berjalan.

Ketua Ahli Ekonomi AMRO, Hoe Ee Khor berkata, pertumbuhan itu akan disokong oleh dasar domestik yang menyokong ekonomi, kepelbagaian sektor ekonomi negara dan sistem perbankan yang berdaya tahan.

“Secara relatif, pemulihan ekonomi dan kawalan jangkitan di Malaysia agak kukuh jika dibandingkan dengan negara lain, meskipun terdapat peningkatan jangkitan baru-baru ini.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa dilihat telah belajar daripada pengalaman lalu dan bakal melaksanakan langkah kawalan secara lebih bersasar, yang akan membenarkan ekonomi terus pulih, meskipun pada kadar lebih perlahan,” katanya dalam taklimat media secara maya sempena pelancaran laporan tersebut, semalam.

Ee Khor memaklumkan, Malaysia masih dianggap sebagai destinasi pelaburan yang menarik buat pelabur asing.

“Pelaburan langsung asing ke negara ini telah meningkat pesat sejak 10 tahun lalu dan perkara ini telah membawa bersama ekosistem yang menguntungkan kepada pelabur.

“Kami menjangkakan keadaan ini akan berterusan dalam jangka masa terdekat dan Malaysia kini perlu menarik pelaburan strategik dan berimpak tinggi seperti syarikat multinasional yang berasaskan kajian dan pembangunan selain memiliki rantai pembekalan meluas,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Utama AMRO, Dr. Sumio Ishikawa berkata, unjuran tersebut turut mengambil kira beberapa pelaksanaan perintah pergerakan dalam negara yang dikuatkuasakan ketika ini.

Namun, beliau memberi amaran sekiranya perintah pergerakan yang ketat terus dilaksanakan sehingga akhir tahun ini, firmanya akan menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya