Dua sindiket dadah tumpas, syabu RM4.52 juta dirampas - Utusan Malaysia

Dua sindiket dadah tumpas, syabu RM4.52 juta dirampas

AYOB Khan Mydin Pitchay dalam sidang akhbar berhubung rampasan dadah bernilai RM452 juta melibatkan dua sindiket yang cuba menyeludup bahan terlarang itu di IPK Johor di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan dua sindiket dadah dengan merampas 125.78 kilogram (kg) bahan itu yang disyaki jenis syabu bernilai RM4.52 juta dalam dua operasi di sekitar Muar antara 12 hingga 14 Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan itu, lima individu yang diberkas terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan seorang wanita Indonesia berusia antara 36 tahun hingga 49 tahun.

Beliau berkata, hasil risikan Unit Risikan Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri membawa kepada penahanan seorang suspek pada pukul 1 petang di sekitar Parit Jawa, Muar.

“Dalam operasi ini, polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bersama sejumlah dadah jenis syabu. Susulan operasi tersebut, polis membuat tangkapan dua lelaki dan seorang wanita.

“Hasil serbuan ini, polis merampas 84 kg syabu bernilai RM3.02 juta selain dua buah kereta serta menyita satu akaun bank bernilai RM36,762.50,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menyewa rumah kampung sebagai transit untuk menyimpan bekalan dadah yang diperoleh dari utara semenanjung sebelum diseludup keluar ke negara jiran, Indonesia.

Dalam serbuan kedua pula yang dilakukan pada pukul 7 malam, Jumaat lalu, polis menjumpai 41.78 kg dadah disyaki dadah jenis syabu bernilai RM1.5 juta di dalam kereta Toyota Camry ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Bakar Batu arah Melaka-Muar.

Katanya, polis menahan sebuah kenderaan dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dalam keadaan mencurigakan yang disyaki untuk dibawa keluar ke Indonesia.

Jelasnya, polis turut menyita satu akaun bank mengandungi wang tunai RM1,612.94 selain ujian saringan mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dan akaun bank adalah berjumlah RM4.68 juta.

“Rampasan dadah ini disyaki mampu menampung untuk kegunaan 628,900 penagih sekiranya terlepas ke pasaran,” katanya.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 19 hingga 21 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya