Dua lagi PKRC akan dibuka di Kelantan - Utusan Malaysia

Dua lagi PKRC akan dibuka di Kelantan

SEBAHAGIAN daripada pesakit Covid-19 yang ditempatkan di PKRC Gelanggamg Seni, Kota Bharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan mengenal pasti dua lagi lokasi untuk dibuka sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) baharu, berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan pandemik itu.

Pengarah PKRC negeri, Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, dua PKRC baharu  itu masing-masing terletak di Padang Perdana dan Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Tanjung Chat di sini.

Menurut beliau, dua PKRC tersebut dijangka mampu menempatkan hampir 1,000 pesakit Covid-19 tahap satu dan dua. 

“Disebabkan beberapa kluster baharu  wujud di seluruh Kelantan, PKRC yang sedia ada hampir penuh dan kita terpaksa memikirkan untuk membuka beberapa PKRC lagi.

“PKRC di Gelanggang Seni kini semakin ramai pesakit yang masuk ke situ selepas wujudnya Kluster Pauh Lima, Pulau Beluru dan Kampung Terusan,” katanya di sini hari ini.

Dr. Mohd. Azman berkata, kebanyakkan pesakit yang ditempatkan di PKRC terdiri daripada pesakit Covid-19 tahap satu, dua dan tiga dari seluruh negeri.

“Di Kelantan amat sukar untuk mendapatkan dewan yang besar bagi mewujudkan PKRC.

“Bagi menampung pertambahan pesakit, kita akan menambah 30 lagi katil klinikal di Gelanggang Seni, memandangkan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sudah penuh dengan pesakit tahap tiga dan ke atas,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Azman berkata, setiap PKRC yang dibuka memerlukan perbelanjaan tinggi untuk beroperasi.

“Misalnya di Gelanggang Seni, kita memerlukan lebih RM200,000 untuk menyediakan 30 katil perubatan termasuk pembelian katil klinikal yang baharu, pendawaian, mesin, ubatan dan kemudahan lain,” katanya.

Tidak termasuk dua PKRC yang bakal dibuka tersebut, setakat ini sebanyak 10 PKRC sudah dibuka di seluruh Kelantan. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya