Diserang strok selepas kebakaran, anak syukur bapa dapat rumah baharu - Utusan Malaysia

Diserang strok selepas kebakaran, anak syukur bapa dapat rumah baharu

ABDUL Razak Harun (tengah) menadah tangan bersyukur selepas rumah untuk bapanya kini siap sambil diperhatikan Mohd Isam (dua, kiri) dan Suhaini Hazli (dua, kanan) sempena Majlis Penyerahan Rumah Bina Baharu PPRT di Kampung Baru Sungai Kepong, Tampin, Negeri Sembilan, hari ini. - UTUSAN//NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang warga emas yang rumahnya terbakar Disember tahun lalu kini boleh menarik nafas lega apabila menerima bantuan rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) menerusi peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Warga emas berkenaan yang diwakili anaknya, Abdul Razak Harun, 55, berkata, bapanya, Harun Aman, 81, kini diserang strok sebelah badan kiri dan buat masa ini tinggal di rumahnya di Kuala Lumpur kerana memerlukan penjagaan rapi.

Katanya, musibah kebakaran rumah berusia 40 tahun itu benar-benar memberi tamparan hebat sehingga bapanya diserang strok pada 4 Februari lalu dan terlantar di Hospital Selayang selama dua minggu.

“Ayah terlalu memikirkan rumahnya sudah musnah terbakar dan kami tiga beradik tidak dapat membina rumah baharu buat ayah disebabkan berhadapan dengan masalah kewangan lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 ini.

“Kami cuba usaha memohon dengan pelbagai pihak dan akhirnya rumah ini dapat disiapkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Penyerahan Rumah Bina Baharu PPRT di Kampung Baru Sungai Kepong, Gemencheh, di sini, hari ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa dan Pengarah GiatMara Negeri Sembilan, Suhaini Hazli Abu Bakar.

Abdul Razak berkata, sejak dimaklumkan tentang rumah baharu sudah siap dibina, bapanya kini menunjukkan perubahan yang cukup positif dan semakin sembuh.

“Ayah makin ceria, tangannya juga sedikit demi sedikit sudah boleh digerakkan. Kalau ayah sudah boleh duduk dan tidak perlu lagi bergantung kepada tiub untuk makan, kami akan menghantar ayah pulang ke kampung bersama mak.

“Kami percaya ayah rindukan kampung dan pulih dengan lebih cepat bila berada di kampung halamannya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mohd Isam berkata, rumah berkenaan antara 18 buah rumah bina baharu di bawah peruntukan KPLB yang dipantau GiatMara Negeri Sembilan.

“Ia dibina dalam tempoh masa yang singkat kurang dari dua bulan bagi memastikan mangsa kebakaran dapat menduduki rumah berkenaan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN