KOTA TINGGI: Seorang wanita di Kampung Temenin Baru, di sini tidak menyangka ‘penat’ yang dirasai selama ini adalah petanda dia menghidap kanser usus dan hati.
Nurdahlia Hamidi, 30, berkata, pada awalnya dia hanya menyangka mengalami demam, sakit perut dan penat melampau yang dianggap perkara biasa.
Tambahan katanya, doktor yang melakukan pemeriksaan di hospital dan klinik sekadar memaklumkan penyakitnya hanya gastrik dan demam urat.
“Saya bekerja di Desa Cemerlang, Johor Bahru selama tiga tahun berulang-alik memandu, jadi apabila badan sakit terasa penat dan sering demam hanya anggap biasa.
“Saya kerap demam pada waktu malam dan makan ubat esoknya dah baik sehinggalah mula perasan perut rasa keras. Saya ke klinik sebelum mereka diminta ke hospital.
“Selepas ujian darah dan imbasan dibuat doktor, mereka mengesahkan saya menghidap kanser usus dan merebak teruk ke hati,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Terdahulu, Nurdahlia menerima lawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian Tenggara, Nor Adibah Safar sempena Program Konvoi Sentuhan Kasih Puteri 10Gara Prihatin.
Nor Adibah menyerahkan bantuan makanan daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba merangkap Ahli Parlimen Tenggara untuk membantu meringankan beban keluarga terbabit.
Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, setelah mendapat tahu khabar duka itu, dia kini kehilangan 37 kilogram berat badan.
“Saya kini menjalani rawatan kimoterapi sebanyak dua kali sebulan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru,” katanya.
Sementara itu ibunya, Jayati Samad, 52, berkata, dia juga tidak menyangka anaknya itu menghidap penyakit tersebut.
“Tiada tanda-tanda Nurdahlia menghidap kanser usus bahkan apabila buang air besar tidak berdarah seperti pesakit kanser usus yang lain.
“Dia kini sudah tidak boleh terlalu banyak bergerak kerana cepat penat selepas menjalani kimoterapi. Hanya banyak terbaring selain kepalanya juga kini sudah botak serta najis berdarah.
“Kini apa yang boleh saya lakukan hanya memberikan kata-kata semangat agar Nurdahlia sentiasa positif untuk mengharungi penyakit dihadapi,” katanya. – UTUSAN ONLINE