Derita lahir tanpa tulang punggung - Utusan Malaysia

Derita lahir tanpa tulang punggung

CHE Mastura Che Abdullah menunjukkan bayinya yang dilahirkan tiada tulang punggung di rumahnya di Felda Jengka 14, Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang bayi berusia dua bulan di Felda Jengka 14 di sini, menderita penyakit sindrom tiada tulang punggung atau Sacral Agenesis@Caudal Regression Syndrome sejak dilahirkan.

Abdullah Haufan Hazza Hanafi yang lahir 17 Februari lalu turut mengalami masalah berkaitan buah pinggang membengkak dan kemungkinan saluran tiub perlu dipasang untuk melawaskan kencingnya.

Ibunya, Che Mastura Che Abdullah, 31, berkata, doktor pakar yang merawat Abdullah Haufan Hazza juga sedang membuat analisis berkaitan jantung dan paru-paru bayi itu kerana mempunyai masalah.

Katanya, menurut doktor, sindrom itu adalah gangguan kongenital yang jarang berlaku dan dianggarkan satu hingga 2.5 peratus dalam setiap 100,000 bayi dilahirkan dengan keadaan sedemikian.

“Luluh rasa hati apabila doktor memaklumkan anak kedua saya menghidap sindrom tiada tulang punggung dan berisiko lumpuh seumur hidup.

“Namun saya reda ketentuan Allah SWT dan terus berusaha mendapatkan rawatan terbaik terhadapnya. Saya mengharapkan keajaiban anak saya sihat dan membesar seperti bayi lain,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menerima kunjungan ziarah kasih Wanita UMNO Bahagian Kuala Krau yang diketuai Norzalila Ahmad, di sini semalam.

Che Mastura berkata, doktor pakar memaklumkan Abdullah Haufan Hazza perlu mendapat rawatan susulan setiap bulan sepanjang hayat termasuk ke Institut Jantung Negara ( IJN) berikutan komplikasi penyakit yang dihidapinya.

“Saya buntu memikirkan keadaan ini kerana suami, Hanafi Osman, 34, tiada kerja tetap, hanya bergantung pendapatan bertukang rumah manakala saya suri rumah sepenuh masa.

“Kami juga menyewa rumah RM250 sebulan di Felda Jengka 14. Kami tinggal berempat termasuk anak sulung, Nur Raudhatul Imani yang berusia tujuh tahun.

“Dengan hasil pendapatan tidak seberapa itulah yang digunakan untuk kos rawatan Abdullah Haufan Hazza dan kos perjalanan berulang alik ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Che Mastura di talian 01135241172 atau menerusi akaun Affin Bank 205130911288 atas nama Hanafi Osman. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya