Datang dengan pil kuda, balik bawa ketum - Utusan Malaysia

Datang dengan pil kuda, balik bawa ketum

MARITIM Malaysia zon Kuala Perlis merampas sebanyak 592 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM15,000 yang disembunyikan di dalam bot kayu untuk dibawa masuk ke negara ini di perairan Kuala Perlis, Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sindiket pengedaran dadah dikatakan membawa dadah khususnya jenis pil kuda dari Thailand ke negara ini sebelum pulang semula ke negara tersebut dengan membawa ketum.

Itu antara modus operandi yang dilakukan sindiket terbabit bagi memenuhi keperluan pil kuda di negara ini dan ketum di Thailand.

Hasil siasatan pihak berkuasa mendapati, sindiket terbabit menggunakan bot kayu dengan kapasiti enjin 13 kuasa kuda iaitu bergerak dari Selatan Thailand dan menghala ke perairan Kuala Perlis membawa pil kuda atau syabu dalam kuantiti yang kecil serta kembali ke Thailand dengan membawa daun ketum.

Bagaimanapun, taktik tersebut dihidu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang merampas sebanyak 592 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM15,000 yang disembunyikan di dalam bot kayu untuk dibawa masuk ke negara ini di perairan Kuala Perlis, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi di kawasan 0.1 batu nautika dari barat pantai Kuala Perlis itu, dua lelaki iaitu tekong dan kru disyaki warga Thailand bertindak terjun ke laut dan berenang melarikan diri.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Shafie Paing memberitahu, pihaknya yang melakukan rondaan mengesan sebuah bot kayu dinaiki dua lelaki disyaki warga Thailand di perairan tersebut.

“Kedua-dua lelaki tersebut berada dalam keadaan mencurigakan selepas bot mereka memasuki perairan Kuala Perlis. Bot peronda memintas bot kayu terbabit yang cuba menukar haluan dan memecut laju ke arah kawasan hutan paya bakau berhampiran.

“Hasil pemeriksaan kita menemukan tiga paket kecil plastik berwarna hitam disyaki pil kuda yang disembunyikan di dalam bot berkenaan yang dipercayai diseludup dari negara jiran,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, keseluruhan pil kuda yang dirampas dalam serbuan itu berjumlah 592 biji dengan berat 65 gram dan dianggarkan bernilai sekitar RM15,000.

“Semua barang rampasan dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shafie memberitahu, rampasan dadah itu adalah yang pertama bagi tahun ini di Zon Maritim Kuala Perlis.

Katanya, kejayaan operasi kali ini adalah menerusi intipan dan risikan yang dilakukan selama beberapa minggu lalu dalam usaha mematahkan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa di perairan negara.

“Penyeludupan dadah jenis pil kuda ini dipercayai untuk pasaran sekitar utara merangkumi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

“Kita percaya ini adalah jenayah terancang dan operasi akan diteruskan untuk menjejaki dalang utama sindiket yang dipercayai melibatkan rakyat tempatan dan warga asing yang berada Perlis dan Kedah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya