Dana raya diganti dengan bantuan Covid-19 kepada 32,000 penerima - Utusan Malaysia

Dana raya diganti dengan bantuan Covid-19 kepada 32,000 penerima

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Persoalan mengenai dana raya terjawab apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan pemberian sumbangan itu kini diterjemahkan dalam bentuk bantuan Covid-19 kepada golongan yang memerlukannya.

Ahmad Samsuri berkata, seramai 1,000 penerima disasarkan menikmati manfaat bantuan bernilai RM100 itu di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan kira-kira 32,000 orang.

Katanya, bantuan kepada penerima diberikan sama ada secara tunai mahu pun barangan keperluan dengan ketika ini masih dalam proses mengenal pasti mereka yang layak.

“Kita tidak namakan dana raya, sebaliknya pemberian sumbangan kepada mereka yang memerlukan sempena Covid-19 pada bulan Ramadan.

“Kalau tanya semua orang tentunya mahukan tunai di tangan tetapi kita aturkan supaya keperluan asasi mereka diberikan keutamaan dan yang penting, rakyat dapat meneruskan kehidupan dari segi makan minum terutama pada musim pandemik,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tablet dan Bantuan Persekolahan DUN Ru Rendang di Dewan Perpustakaan Awam Marang di sini hari ini.

Yang hadir sama Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), Burhanudin Hilmi Mohamed.

Kerajaan negeri sebelum ini memutuskan meneruskan bantuan dana raya yang diperkenal Barisan Nasional (BN) secara agihan bersasar berbanding tradisi pentadbiran lalu yang memperuntukkan antara RM300 hingga RM400 kepada setiap penerima dengan jumlah keseluruhan hampir RM99 juta.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, kira-kira 13,600 penjawat awam di negeri ini menerima durian runtuh bernilai RM500 bermula semalam sebagai bonus Hari Raya Aidilfitri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN