GEORGETOWN: Tiada kes baharu penularan Covid-19 di dua buah penjara di negeri ini, manakala hanya lima kes Covid-19 dikesan di Penjara Reman Pulau Pinang setakat hari ini.
Pengarah Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed berkata, penularan wabak Covid-19 itu berjaya dibendung ekoran prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dilaksanakan di ketiga-tiga penjara tersebut.
“Sebelum ini terdapat sehingga 100 hingga 400 kes Covid-19 di tiga penjara di Pulau Pinang.
“Namun selepas SOP yang lebih ketat dilaksanakan, dua penjara iaitu Penjara Seberang Perai dan Penjara Satelit Bukit Mertajam tidak mencatatkan kes baharu Covid-19,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Terdahulu, Roslan mewakili Jabatan Penjara Pulau Pinang menerima sumbangan barangan keperluan makanan untuk petugas Jabatan Penjara daripada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo.
Sebelum ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Negeri Pulau Pinang pernah dilaksanakan 15 Oktober hingga 11 November tahun lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19 di kedua-dua penjara berkenaan.
Menurut Roslan, sebagai langkah pencegahan penularan pandemik itu di Penjara Reman Pulau Pinang, mana-mana banduan yang didapati positif Covid-19 diasingkan lebih awal bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan banduan lain.
“Kami akan memastikan semua banduan yang masuk ke penjara menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu dan mereka juga diasingkan dengan banduan yang telah berada di dalam penjara,” katanya.
Dalam pada itu Roslan berkata, ketika ini kira-kira 99 peratus daripada 329 petugas Jabatan Penjara Pulau Pinang telah menerima vaksin Covid-19.
“Yang masih belum terima vaksin ini bukan menolak, sebaliknya mereka menghadapi masalah kesihatan,” katanya. – UTUSAN