Covid-19: Sultan Johor titah ahli Parlimen, ADUN gembleng tenaga - Utusan Malaysia

Covid-19: Sultan Johor titah ahli Parlimen, ADUN gembleng tenaga

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menggembleng tenaga memainkan peranan dalam berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19 yang semakin menular.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, peranan itu termasuklah dengan membantu individu yang terkesan.

Titah baginda, Ordinan Darurat yang menghalang persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak sepatutnya menghalang wakil rakyat menggembleng tenaga untuk kebaikan masyarakat.

“Saya sedar akan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa menghalang persidangan Parlimen dan DUN untuk dijalankan ketika ini. 

“Namun, saya rasa khidmat Ahli Parlimen dan ADUN di Johor perlu digembleng untuk terus membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak ini.   

“Saya menyeru satu perbincangan secara mesyuarat diadakan dalam kalangan semua Ahli Parlimen dan ADUN di negeri ini dengan dipengerusikan Menteri Besar Johor,” titah Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sultan Johor mengeluarkan titah berkenaan ekoran peningkatan kes positif Covid-19 harian di negeri ini yang merekodkan sejumlah 699 kes baharu, semalam.

Titah baginda, perbincangan itu akan membolehkan semua ahli Parlimen dan ADUN memberi pandangan masing-masing dalam membendung penularan wabak Covid-19.

“Mesyuarat itu juga bertujuan untuk mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh bangsa Johor,” titah baginda.

Sementara itu, ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse memberitahu, pihaknya menyokong titah Sultan Ibrahim yang dilihat bersesuaian dengan keadaan semasa yang semakin kritikal.

“Justeru itu, Menteri Besar dan kerajaan negeri perlu segera menetapkan satu tarikh bagi mengadakan mesyuarat seperti mana yang telah dititahkan Sultan Johor.

“Patik yakin dengan kebijaksanaan serta kearifan Sultan Johor, negeri ini akan dapat mengawal penularan pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan dan pantas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya