IPOH: Kerajaan negeri meningkatkan kapasiti di Pusat Rawatan Covid-19 Risiko Rendah (PKRC) di Stadium Badminton Ipoh, di sini berikutan unjuran kes positif Covid-19 yang dijangka meningkat.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, kapasiti di PKRC berkenaan ditambah daripada 208 kepada 308 katil bagi menampung unjuran kes positif yang dijangka meningkat dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang.
Pada masa sama, kata beliau, kerajaan negeri juga sedang mengenal pasti lokasi
PKRC yang baharu sama ada di zon utara atau di kawasan Hilir Perak dan Manjung.
Katanya, ia sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku peningkatan kes jangkitan yang berlarutan.
“Dalam hal ini, Perak tidak lagi boleh bergantung kepada PKRC di MAEPS Serdang, Selangor atau di Jawi, Seberang Perai di Pulau Pinang.
“Ini disebabkan kedua-dua PKRC berkenaan juga menghadapi peningkatan jumlah pesakit,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri juga bersetujumenyediakan peruntukan makan dan minum kepada petugas-petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebagai sokongan berterusan khususnya kepada petugas barisan hadapan yang terus berjuang memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
“Bagaimanapun, saya memohon agar semua PPV ini dapat sentiasa memastikan kepatuhan kepada SOP dan bersiap siaga dengan kawalan agar tidak berlaku kesesakan yang boleh membawa kepada risiko penularan kluster baharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE