KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepanjang minggu ini di Mahkamah Tinggi di sini terhenti sekali lagi selepas seorang peguam belanya dikuarantin kerana menjadi kontak rapat beberapa individu yang positif Covid-19.
Ini kali keempat Covid-19 menjadi penyebab perbicaraan itu ditangguhkan.
Kali pertama pada 13 Mac 2020 apabila peguam bela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjalani kuarantin selepas menjadi kontak langsung dengan individu disyaki dijangkiti virus itu dalam majlis kenduri di kediamannya.
Pada 5 Oktober 2020, perbicaraan tertangguh apabila Najib menjalani kuarantin kendiri dua minggu selepas pulang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Kali ketiga selepas saksi pendakwaan ke-10 yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd. Hazem Abd. Rahman menjadi kontak rapat kepada seorang rakannya yang positif Covid-19.
Turut tertangguh ialah rayuan Najib berhubung sabitan salah dan hukuman denda RM210 juta serta penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan berkaitan penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. di Mahkamah Rayuan yang dijadualkan bersambung pada 6 Mei ini.
Perbicaraan kes 1MDB akan bersambung pada 17 Mei 2021 manakala pendengaran rayuan itu ditetapkan pada 18 Mei ini.
Menurut peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi media berkata, penangguhan tersebut adalah akibat kebanyakan ahli pasukan pembelaan terpaksa menjalani ujian Covid-10 dan kuarantin kendiri kerana mereka semua bekerja rapat dengan peguam yang kini dikuarantin.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi turut mengesahkan penangguhan tersebut.
Ujarnya, pihak pembelaan memaklumkan mahkamah mengenai perkara tersebut pada Jumaat lalu (30 April) dan mahkamah membenarkan penangguhan pada hari sama.
Najib kini dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi di sini. Perbicaraan yang masih di peringkat pendakwaan masih diteruskan dengan soal balas pihak pembelaan terhadap Mohd. Hazem.- UTUSAN