Covid-19: 1,000 penduduk terputus bekalan barangan basah - Utusan Malaysia

Covid-19: 1,000 penduduk terputus bekalan barangan basah

JALAN masuk ke Kampung Relau, Bandar Baharu, Kulim, Kedah, ditutup bagi mengekang penularan Covid-19, hari ini. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Relau, di sini, terputus bekalan barangan basah selepas mereka menjalani kuarantin di rumah berikutan penularan Covid-19 bagi Kluster Pintu Relau di kawasan itu sejak 28 April lalu.

Setakat ini, jumlah penduduk di kampung itu yang disahkan positif Covid-19 ialah seramai 211 orang manakala 988 orang lagi dkuarantin selepas menjalani ujian saringan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Relau, Mohd. Fauzi Abdul Wahab berkata, penduduk terlibat memerlukan bekalan barangan basah seperti ikan, ayam dan sayur-yuran untuk keperluan berbuka puasa sepanjang dikuarantin.

Malah, dia mengharapkan ada pihak sudi memberi bantuan daging untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

“Penduduk juga memerlukan bekalan air mineral, beras, sardin, minyak masak, gula, bihun, tepung gandum dan roti untuk keperluan mereka seharian,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, bekalan barangan tersebut boleh dihantar ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk diagihkan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, katanya, penduduk mula menerima bantuan beberapa jenis barangan keperluan, namun belum mencukupi.

Sementara itu,Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman memberitahu, wabak berkenaan tercetus selepas seorang penduduk wanita yang positif Covid-19 menghadiri majlis keagamaan di kawasan berkenaan.

“Ketika ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah masih meneruskan ujian saringan kontak rapat yang hadir pada majlis yang dihadiri wanita berkenaan baru-baru ini,” katanya.

“JKN juga membawa penduduk yang mengalami gejala ke hospital bagi mengelak mereka berhubung bersama ahli keluarga yang sihat di rumah,” katanya.

Tambahnya, individu yang mempunyai kontak rapat atau mempunyai gejala tampil melakukan saringan, selain bersikap jujur mengenai keadaan kesihatan mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN