Cari pendekatan baharu isi kekosongan ditinggalkan UPSR - Utusan Malaysia

Cari pendekatan baharu isi kekosongan ditinggalkan UPSR

KEMENTERIAN Pendidikan perlu mencari satu kaedah pengukuran baharu prestasi pelajar selepas UPSR dimansuhkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Kekosongan’ ditinggalkan oleh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berikutan pemansuhan peperiksaan itu harus diisi dengan pendekatan baharu yang membolehkan murid meletakkan sasaran dalam persekolahan rendah mereka.

Lazimnya bilangan ‘A’ dalam UPSR biasanya menjadi sasaran dalam kalangan murid namun apa yang membimbangkan pemansuhan ujian tersebut memaksa murid mencari motivasi baharu untuk belajar atau hilang arah begitu sahaja.

Keadaan itu dikhuatiri bukan sahaja memberi kesan kepada murid tetapi program gerak gempur, latih tubi, kelas tambahan dan pusat tuisyen serta ujian-ujian bulanan serta ujian percubaan.

MOHD. RIZAL ARSHAD

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Ir. Dr. Mohd. Rizal Arshad berkata, sistem pendidikan negara memang perlukan rombakan menyeluruh tetapi pemansuhan UPSR tidaklah bermakna ia menyelesaikan masalah besar.

Sehubungan itu, kata beliau, Kementerian Pendidikan perlu mencari satu kaedah pengukuran baharu bagi mengukur potensi murid.

“Kalau tidak macam mana nak ukur potensi pelajar. UPSR dimansuhkan memang satu langkah baik kerana ia mungkin hanya sesuai 30 tahun lalu tetapi ia mesti ada pengganti untuk mengukur, tak boleh biar kosong sahaja.

“Kalau pelajar ada sasaran, barulah ia akan dapat menenangkan ibu bapa dan guru-guru,” katanya.

Rabu lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk tahun ini dibatalkan.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, selaras pemansuhan UPSR dan pembatalkan PT3, maka pihaknya akan melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) untuk mengukur pencapaian murid dan pelajar terlibat.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul.

Dalam pada itu, Pengarah Akademi Pendidikan/ Sekolah Makmal di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Mohd. Hafiz Md. Hanif berpandangan, pemansuhan UPSR adalah satu langkah bagi mengeluarkan sistem pendidikan negara daripada bersifatkan peperiksaan semata-mata.

“Berbanding Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menentukan masa depan pelajar, UPSR bertindak sebagai ‘checkpoint’ untuk menilai perkembangan semasa murid-murid.

“Namun ia hanya mengukur prestasi pelajar semasa menduduki peperiksaan dan tidak mengambil kira perkembangan semasa sebelum dan selepas menduduki UPSR. Sistem PBD pula dapat mengukur prestasi sepanjang tempoh di sekolah melalui rekod dan data raya sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui PBD perlu diperkukuh bagi memastikan pemansuhan UPSR tidak menjadi satu keputusan yang sia-sia.

“Menjayakan sebuah sistem baharu tanpa UPSR perlu digalas oleh guru-guru dan ibu bapa. Janganlah sampai pemansuhan peperiksaan ini sekadar bertepuk sebelah tangan,” katanya.

Sementara itu, golongan ibu bapa berharap kerajaan dapat mewujudkan kaedah baharu sebagai mekanisme bagi menilai prestasi anak-anak mereka setelah UPSR dimahsuhkan.

Bagi murid tahun enam pula, pemansuhan peperiksaan itu bukan bermakna mereka boleh ‘goyang kaki’ tetapi perlu lebih fokus kerana setiap murid dinilai berasaskan keupayaan atau potensi sesuai dengan pengembangan diri dan kebolehan masing-masing.

FAUZI MOHAMMED NOOR

Seorang bapa, Fauzi Mohammed Noor, 45, berharap kaedah yang lebih berkesan dilaksanakan kerajaan bagi menilai prestasi murid.

“Dari satu sudut memang baik apabila UPSR dimansuhkan, cuma ia satu cabaran kepada ibu bapa untuk turut sama memantau prestasi anak di rumah. Kita berharap tiada unsur pilih kasih di sekolah dan para guru mengajar seikhlas hati dengan tiada unsur membeza-bezakan murid,” katanya.

FARQIL RAYYAN FAUZI

Bagi murid tahun enam, Farqil Rayyan Fauzi, tentunya Kementerian Pendidikan mempunyai perancangan terbaik apabila memansuhkan UPSR.

Dengan keputusan itu, katanya, dia tidak terbeban memikirkan untuk menduduki peperiksaan itu demi memperoleh keputusan A dalam mata pelajaran.

“Tentunya saya perlu lebih fokus selepas ini di sekolah kerana prestasi saya akan dinilai dalam pembelajaran di sekolah. Ada atau tidak UPSR, pembelajaran tetap perlu diteruskan seperti biasa,” katanya.

DAMY MIKAEL HASLIHELMY

Seorang lagi murid tahun enam, Damy Mikael Haslihelmy berkata, dia terkejut apabila kerajaan membuat keputusan memansuhkan UPSR.

“Saya telah pergi tuisyen, tapi akhirnya UPSR dimansuhkan. Memang kecewa tapi berharap kerajaan sediakan kaedah baharu menilai prestasi murid,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya