PUTRAJAYA: Seekor burung hud-hud dirakam buat julung kali di negara ini hasil kerjasama pelbagai agensi awam dan pertubuhan bukan kerajaan tempatan baru-baru ini.
Kejayaan tersebut dimaklumkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia menerusi hantaran dalam akaun sosial rasmi Facebooknya itu.
“Spesies ini dijumpai bersarang dalam pokok jenis batai laut di Taman Tasik Taiping, Perak yang menjadi tumpuan ekopelancongan bagi daerah Larut, Matang dan Selama,” katanya.
Program pemantauan unggas itu dilaksanakan Perhilitan dengan kerjasama Zoo Taiping & Night Safari, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam dan Taiping Birding Community.
Menurut kenyataan agensi berkenaan, hud-hud atau Eurasian Hoopoe atau nama saintifiknya, Upupa epops adalah haiwan yang amat dilindungi sepenuhnya kerajaan di seluruh negara.
Perlindungan spesies ini di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 setiap ekor atau penjara sehingga dua tahun.
Unggas berdarah panas ini juga dikategorikan oleh Kesatuan Konservasi Alam Antarabangsa (IUCN) berpusat di Britain dalam senarai merah spesies amat terancam di dunia sejak 2012.
Badan global itu namun melaporkan hud-hud tidak pernah direkodkan di Malaysia, tetapi mudah ditemukan di Thailand, Kemboja, Laos, Vietnam, Myanmar, India Bangladesh dan Sri Lanka.
Burung kecil tersebut turut dikenali dengan pelbagai nama seperti huphup atau hupo tunggal, malah ada yang keliru dengan merujuk spesies ini sebagai belatuk atau kelicap.
Kisah hud-hud amat masyhur dalam kalangan umat Islam menerusi sejarah Nabi Sulaiman, bahkan dipopularkan artis Datuk M. Nasir melalui lagu Tanya Sama Itu Hud Hud pada 1994 lalu.
Perkongsian foto-foto eksklusif oleh Perhilitan mengenai burung itu turut tular apabila meraih lebih 1,400 tanda suka selain dikongsi ratusan warganet dan menerima puluhan komen positif. – UTUSAN ONLINE