KLANG: Polis Klang Utara memburu seorang lelaki warga Bangladesh bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan dengan rakan senegara sehingga mengakibatkan maut pada 8 Mei lalu.
Joynal Abadin, 40-an, yang merupakan pekerja di sebuah kedai kereta terpakai diburu setelah terlibat dengan pergaduhan di tempat kerjanya di Bandar Baru Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang apabila kedua-dua individu terbabit bergaduh sehingga mengakibatkan mangsa maut akibat dipukul dengan menggunakan senjata di bahagian kepala.
“Susulan daripada kejadian, suspek turut mendapat kecederaan akibat torehan pisau kira-kira lapan inci di tangan sebelah kiri. Suspek yang mengalami kecederaan telah dibawa ke klinik berhampiran oleh majikannya untuk menerima rawatan.
“Bagaimanapun, suspek telah melarikan diri setelah mendapatkan rawatan di klinik tersebut. Oleh demikian, suspek diburu bagi membantu siasatan kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nurulhuda berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan suspek boleh menghubungi Ibu pejabat Polis (IPD) Klang Utara di talian 033291 2222 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden You Swee Leong di talian 0124071452. – UTUSAN