PETALING JAYA: Saranan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 ditangguhkan ke 2023 tidak timbul kerana perkara itu terserah kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada perlu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dengan segera atau mengubah kerajaan sedia ada.
Beberapa pemimpin parti politik berpendapat pembubaran Parlimen perlu dilakukan segera sebaik sahaja Proklamasi Darurat tamat Ogos ini, ditambah pula dengan tindakan UMNO yang menarik sokongan daripada Perikatan Nasional (PN) hanya sehingga Ogos ini juga.
Menurut Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, pembubaran Parlimen tidak lagi disifatkan sebagai desakan, tetapi perubahan tersebut berdasarkan kerajaan Muhyiddin yang didakwa tiada sokongan majoriti.
“Ia bukan soal mendesak supaya kerajaan dibubarkan, tetapi ketetapan UMNO untuk menyokong PN hanya sehingga Ogos ini sahaja. Kemudian, terpulang kepada Agong dengan nasihat Perdana Menteri untuk mengadakan PRU atau bagaimana.
“Takkan Tan Sri Muhyiddin Yassin nak suruh kekalkan dia juga walaupun tak ada majoriti?
“Kalau keadaan tidak mengizinkan, kes Covid-19 sampai 10,000 kes, takkan kita nak desak supaya adakan PRU?” Soalnya ketika dihubungi semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan kenyataan Dr. Mahathir tentang PRU-15 tidak wajar diadakan tahun ini malah perlu tunggu hingga tamat penggal Parlimen pada 2023 mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang semakin meningkat.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid pula berkata, perubahan pimpinan kerajaan hari ini jika dilakukan adalah selaras Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan iaitu jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, kecuali atas permintaannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan.
Katanya, apabila Perdana Menteri didapati tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan tidak mahu meletakkan jawatan, undi tidak percaya kepada Muhyiddin boleh dibuat.
“Apa keperluan mendesak adakan PRU? Kalau yang pertama, ada pihak mendesak dan sebab apa? Sebab negara huru-hara sampai dah nak kiamat perlu adakan PRU? Maka buatlah PRU.
“Kalau perkara kedua, keabsahaan disertai artikel 43 itu ada.. majoriti ada, legitimasi ada, asas yang menteri itu tak layak pegang jawatan, jadi PRU perlu diadakan. Kalau setakat Covid-19, ikut SOP sahaja lah. Apa pun, kita serahkan kepada Dewan, biar Dewan yang tentukan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, bagi Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad, meskipun setiap keputusan bergantung kepada pandemik Covid-19, kerajaan yang ada tidak mempunyai majoriti lagi. – UTUSAN