Bicara dipendekkan, Muhammad Shafee jumpa peguam

Kes 1MDB: Bicara dipendekkan, Muhammad Shafee jumpa peguam

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion semalam hanya berlangsung tidak sampai tiga jam.

Ia berikutan permohonan peguam bela utama kes itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang memohon tempoh perbicaraan itu dipendekkan kerana beliau perlu bertemu dengan peguamnya.

“Saya ingin berjumpa dengan peguam saya untuk berbincang mengenai kes saya,” ujarnya.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib tidak membantah terhadap permohonan tersebut.

Pada peringkat awal, perbicaraan kes yang sepatutnya bermula pukul 9 pagi hanya bermula kira-kira pukul 11 pagi kerana Muhammad Shafee dan Najib menghadiri satu lagi kes membabitkan permohonan penyitaan harta yang disita daripada Pavilion Residences bernilai lebih RM114 juta yang dikaitkan dengan dana 1MDB.

Kes itu sepatutnya tamat pada pukul 3.30 petang namun dipendekkan kepada 2.45 petang, semalam.

Hari ini (21 Mei), merupakan hari pertama perbicaraan kes Muhammad Shafee yang didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram dan dua tuduhan memberikan pernyataan palsu membabitkan wang sebanyak RM9.5 juta yang dikatakan diterima daripada Najib.

Peguam terbabit didakwa menerima wang tersebut dalam bentuk cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Menurut laporan media sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan seramai 10 orang saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Perbicaraan kes 1MDB membabitkan Najib bersambung Isnin ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN