TELUK INTAN: Seorang wanita tergamak memukul ibu kandungnya hanya kerana berang tidak dapat mandi selepas air simpanan dalam tangki rumah kehabisan.
Kejadian pukul 8.30 malam tadi di Taman Intan Mas di sini menyebabkan mangsa berusia 54 tahun cedera selain calar dan bengkak di jari, pipi dan mata.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian bermula dengan pertengkaran mulut apabila suspek berusia 30 tahun memarahi ibunya selepas air simpanan habis menyebabkan dia tidak boleh mandi.
Menurut beliau, suspek yang menuduh ibunya sengaja mencari pasal telah bertindak menolak dan menunjal kepala wanita itu selain menendang di kiri dan kanan paha mangsa.
“Anak wanita itu kemudian memukul muka dan jari manis tangan kanan ibunya dua kali sehingga jari tersebut bengkak.
“Kejadian di ruang tamu itu turut disaksikan adik perempuan suspek berusia 17 tahun yang turut mengeluarkan kata-kata; jangan sampai ada yang mati di tangannya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang cedera telah dirawat di Hospital Teluk Intan sebelum membuat laporan polis hingga membawa kepada tangkapan lelaki itu pada pukul 2 pagi, hari ini.
Katanya, semakan mendapati, suspek diberhentikan kerja pada tahun 2014 dan dia anak kedua daripada tiga beradik dan tinggal bersama ibunya pada penghujung tahun 2014.
Suspek kini ditahan reman empat hari.– UTUSAN