Bekas KPN berwibawa jadi pemimpin politik - Utusan Malaysia

Bekas KPN berwibawa jadi pemimpin politik

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan campur tangan politik dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan beliau berwibawa menjadi pemimpin politik berkaliber.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berpendapat, tidak ramai pemimpin seperti Abdul Hamid yang memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara berani menegur seorang ahli politik secara terbuka.

Menurut beliau, kenyataan Abdul Hamid memberikan kesan besar kepada kedudukan politik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, sekali gus meletakkan Abdul Hamid sebagai individu yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Abdul Hamid seorang yang lantang, terbuka dan mampu membuat kenyataan berani, sudah tentu kenyataannya akan mengundang kritikan kerana menyerang ahli politik.

“Jika beliau berhasrat sertai politik, beliau sudah tentu akan dapat sokongan kerana ketegasannya, personalitinya memberi merit untuk beliau bertanding. Tidak perlu berpengetahuan dalam politik, dengan sikapnya yang menjunjung integriti dan kesungguhannya, Abdul Hamid boleh berjaya dalam politik,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kepong, Norizan Ali yang mencabar Abdul Hamid menceburi bidang politik secara sepenuh masa selepas kritikannya terhadap Hamzah.

Norizan meminta Abdul Hamid bertanding sebagai calon serta melawan Hamzah di kerusi Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam pada itu, geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan menganggap kenyataan Abdul Hamid tidak sedikit pun menunjukkan bahawa beliau bermain politik, sebaliknya kenyataannya adalah sekadar untuk mempertahankan PDRM sebagai badan penguatkuasaan di negara ini.

“Kenyataan Abdul Hamid bukan bermakna beliau mencampuri urusan politik, sebaliknya orang politik yang mencampuri urusan penjawat awam.

“Ini penting kerana PDRM perlu dilihat telus dan adil, sebab itu amat gusar sekali jikalau ada campur tangan secara langsung walaupun undang-undang membenarkan Hamzah memilih jawatan penting polis, tapi ini perlu dilakukan secara telus, bukan ada unsur-unsur politik dalam pelantikan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya