Bekas guru, rakan sempat berbual menerusi panggilan video dengan Norhalim sebelum maut tertembak - Utusan Malaysia

Bekas guru, rakan sempat berbual menerusi panggilan video dengan Norhalim sebelum maut tertembak

JENAZAH Konstabel Norhalim Tumiran selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Damar di Lanchang, Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Bekas guru dan rakan sekolah Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran, 24, sempat bersembang menerusi panggilan video kira-kira setengah jam sebelum maut tertembak rakan setugas di sebuah rumah sewa di Sibu, Sarawak pada 6 Mei lalu.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Damar, Adham Abdul Samad, 36, berkata, Allahyarham seorang yang berbudi pekerti mulia kerana kerap kali menghubunginya walaupun sudah berkerjaya.

Menurutnya, dia sering menceritakan keseronokannya menjadi anggota polis tetapi sangat merindui untuk pulang berjumpa keluarga dan rakan-rakan sekolah di Felda Bukit Damar, Lanchang di sini.

“Saya jurulatih bola sepak mengajarnya dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan 5 dan hubungan kami sangat rapat malah pernah tidur sebantal ketika bujang.

“Allahyarham seorang pemain bola sepak yang handal mewakili sekolah sebagai penjaring gol yang digeruni malah menjadi harapan sekolah dalam sukan nombor satu negara itu.

“Bakatnya terus menyinar apabila terpilih menjadi penyerang utama ketika mewakili Persatuan Pasukan Bola Sepak Temerloh (Temerloh FA) dalam kejohanan Piala Sultan Pahang,” katanya ketika ditemui di Felda Bukit Damar di sini, semalam.

Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Felda Bukit Damar kira-kira pukul 8.50 malam semalam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan disembahyangkan di masjid berkenaan.

Suasana sedih dan pilu apabila balunya, Nur Fitrah Ramli, 24, dan ibu Allahyarham, Jamilah Daman 60, dibenarkan menatap wajah Norhalim buat kali terakhir.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Damar kira-kira pukul 10.30 malam.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said dan Ketua Polis Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman.

Sementara itu, seorang rakan sekelas dan sekampung, Sharin Sharif, 24, terkejut dengan kejadian itu kerana tidak menyangka menimpa seorang rakannya yang ceria tetapi agak pemalu.

Tambahnya, dalam perbualan panggilan video sebelum kejadian, Allahyarham tiada tanda-tanda pelik yang dikesan tetapi dia kerap menghubungi rakan-rakannya sejak kebelakangan ini.

“Kami rakan-rakan sekampung dan sekelas berasa kehilangan seorang sahabat yang ceria, masih muda dan kuat bergurau. Semoga Allah merahmati rohnya,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, kementerian itu akan membantu keluarga mangsa melalui tabung polis supaya mendapat pembelaan sewajarnya terutama anak Allahyarham yang berusia setahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya