SHAH ALAM: Seorang bekas eksekutif kanan pakar produk sebuah syarikat telekomunikasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menerima suapan bagi mendapatkan kerja pembekalan dan penyelenggaraan antara 2016 dan 2018.
Tertuduh, Mohamad Hafiz Azmi, 35, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut keempat-empat pertuduhan, Mohamad Hafiz yang kini bekerja sebagai pembekal internet itu didakwa menerima suapan berbentuk deposit cek tunai berjumlah RM45,760.05 daripada dua syarikat dimiliki individu berusia 48 dan 41 tahun melalui syarikat miliknya Nusa Perintis Enterprise.
Suapan itu diterima sebagai dorongan membantu mendapatkan kerja pembekalan dan penyelenggaraan peralatan telekomunikasi yang dikeluarkan majikan tertuduh bernilai RM1.28 juta.
Bapa kepada seorang anak itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah bank di Glenmarie Business Park di sini antara 20 september 2016 dan 2 Oktober 2018.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama serta jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri setiap awal bulan di mana-mana balai polis berhampiran dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mohamad Hafiz yang tidak diwakili peguam memohon jaminan terhadapnya dikurangkan kerana hanya mempunyai gaji bersih RM1,500 sahaja dan perlu menjaga seorang anak.
“Saya terima ketentuan yang berlaku hari ini tetapi mohon wang jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung seorang anak dan isteri serta ibu bapa yang kini sedang sakit di kampung,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan serta menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Jun hadapan. – UTUSAN