PETALING JAYA: Operasi bazar Ramadan di enam daerah Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan dihentikan mulai 8 Mei ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, makan di restoran dan hotel termasuk bufet Ramadan tidak dibenarkan berkuat kuasa mulai esok.
Bagaimanapun, beliau berkata, bazar Aidilfitri dan pasar malam pula dibenarkan beroperasi sehingga pukul 10 malam.
“Jumlah pengunjung pada satu-satu masa dihadkan mengikut saiz bangunan atau premis, sistem nombor giliran dikuatkuasakan dan kanak-kanak bawah 12 tahun dilarang masuk.
“Lain-lain perkara akan diputuskan dari masa ke masa oleh pengurusan bazar, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” kata beliau pada sidang media hari ini.
Susulan pengumuman tersebut, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan RM500 kepada peniaga bazar Ramadan yang terjejas.
“Peniaga bazar Ramadan kira-kira 11,000 membabitkan peruntukan RM5 juta. Bantuan ini bagi meringankan keresahan mereka,” kata beliau.
Enam daripada sembilan daerah di Selangor dikenakan PKP mulai 6 hingga 17 Mei. Daerah tersebut ialah Petaling, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sepang. – UTUSAN