PETALING JAYA: Seorang bayi berusia sembilan bulan dibunuh sebelum diliwat oleh suami kepada pengasuhnya pada 27 April lalu.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bayi itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh oleh suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati lebam di mulut bayi dipercayai disebabkan oleh tangan yang menekupkannya hingga mati, serta cedera di dubur.
Pengasuh bayi lelaki itu dan suaminya yang berusia 36 tahun ditahan di rumah mereka di Kelana Jaya pada 29 April.
Beliau memberitahu polis menerima laporan pada 28 April daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Sungai Buluh.
“Beliau menerima seorang pesakit iaitu bayi lelaki berusia sembilan bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dibawa oleh seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pengasuh kepada bayi tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut oleh doktor mendapati bayi itu sudah meninggal dunia dan terdapat kesan pendarahan dan kecederaan di bahagian dubur,” katanya pada sidang media di sini.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam pada mulut si mati disyaki akibat ditekup menggunakan tangan dan beberapa kesan koyakan di bahagian dubur si mati akibat kemasukan benda tumpul.
Katanya, punca kematian adalah kerana mulut mangsa telah ditekup hingga sesak nafas.
Beliau berkata, dipercayai bayi itu sudah meninggal dunia sebelum diliwat atau dimasukkan benda tumpul ke duburnya.
Hasil risikan dan maklumat kata beliau, pasukan polis telah memberkas pasangan itu di rumah mereka.