Bahasa slanga cemar imej bahasa Melayu - Dr. Awang Sarian

Bahasa slanga cemar imej bahasa Melayu

bahasa
AWANG SARIYAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membangkitkan kebimbangan penggunaan bahasa slanga yang tidak terkawal, kurang teratur dan tidak sopan terutamanya dalam media sosial akan merendahkan nilai bahasa Me­layu itu sendiri.

Hal ini jika tidak ditangani bakal menim­bulkan kekeliruan sehingga bo­leh menjejaskan ge­nerasi akan datang dan paling menyedihkan, isu itu bukan hanya melibatkan golongan muda, bahkan yang berusia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, kerisauan ter­sebut dikongsi kalangan pendidik, ahli agama, ahli budaya dan sesiapa sahaja yang berpegang pada kepercayaan bahawa adab dan tamadun se­suatu bangsa amat berkaitan dengan corak bahasa yang digunakan oleh masyarakatnya.

Katanya, jika ia tidak dika­wal, lama-kelamaan masyarakat menjadi permisif dan kononnya liberal, walhal menuju ke arah kehancuran adab, akhlak dan tamadun.

Katanya, keadaan lebih buruk terutama apabila berkaitan dengan isu politik seperti perbezaan parti, kem dalam parti atau sikap tentang seseorang pemimpin atau lawan politik seolah-olah menjadi lesen besar untuk orang tertentu menggunakan bahasa kesat dan kasar tanpa berlapik atau berbasa-basi.

“Bahasa yang rancu atau tidak teratur dapat dilihat dalam dua hal. Pertama, bahasa yang tidak menurut aturan bahasa yang baik, dalam soal tatabahasa, ejaan dan pilihan kata.

“Walaupun tidak dapat diharapkan bahasa yang sempurna dalam media sosial, terutama yang berbentuk bahasa percakapan, namun perlu dihindari kesalahan asas yang mencacatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun. Contohnya, apakah perlunya kata seperti ‘tahu, apa, siapa, sahaja’ ditulis sebagai ‘tew, aper, saper, sajer’? Begitu juga cantuman kata seperti ‘makasih’ bagi ‘terima kasih’, ‘pakaba’ bagi ‘apa khabar’.

“Penggunaan bahasa yang lebih parah adalah dalam hal kesantunan bahasa. Contohnya, banyak kata yang bersifat cacian, carutan, bidasan dan hinaan yang meluas dalam media sosial seperti dalam blog, Facebook, Twitter dan sebagainya,” katanya.

Tambah Awang, strategi pendidikan perlu lebih difokuskan kepada pembinaan sifat insan di samping penyampaian ilmu, maklumat dan kemahiran.

“Ibu bapa dan keluarga perlu berperanan lebih positif dan bertanggungjawab dalam pembentukan watak beradab kepada anak-anak. Institusi lain seperti kejiranan, pertubuhan dan parti politik perlu lebih menekankan aspek etika sosial agar anggota-anggotanya menyandang tinggi soal budi bahasa dalam menjalin keharmonian.

“Badan berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan PDRM perlu bertindak lebih tegas kepada mana-mana pihak yang menggunakan media untuk merobek kestabilan negara, termasuk yang bersikap biadab melalui penggunaan bahasanya kepada institusi Raja, agama Persekutuan dan peruntukan lain dalam Perlembagaan,” katanya.

Senada dengan beliau, Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran berkata, keadaan berkenaan agak merisaukan kerana ia boleh mempengaruhi cara bahasa kepada masyarakat akan datang disebabkan media sosial mempunyai pengaruh yang luas.

“Ini agak merisaukan, cuma saranan kita, sekiranya kita menggunakan bahasa yang baku dalam media sosial, ia tidak memberi sebarang kekurangan bahkan kita lihat penggunaan bahasa yang baik itu boleh menarik minat orang.

“Berkemungkinannya penggunaan bahasa slanga itu adalah satu gaya yang pada pada pandangan saya tidak sihat dari segi bahasanya. Kalau untuk tujuan harian, lisan itu tidak mengapa, kerana sememangnya dalam penggunaan lisan harian, kita menggunakan pelbagai dialek,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya