Bahana PKP: Peniaga terjejas teruk - Utusan Malaysia

Bahana PKP: Peniaga terjejas teruk

MOHAMMAD Nazri menyusun capal di rak jualan untuk tatapan pelanggan di kedai Daud Bersaudara Enterprise di Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19 memberi kesan berpanjangan terhadap para peniaga dan pengusaha apabila pendapatan merosot dan tekanan membayar balik pinjaman malah ada yang menutup terus perniagaan dalam tempoh ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga kasut terpakai bandar Kuala Lipis, di sini, Ahmad Nazree Shahabudin berkata, perniagaannya merosot sejak PKP dilaksanakan malah semakin bertimpa-timpa apabila pelaksanaan pematuhan yang sama bermula 12 Mei lalu sehingga premis miliknya berdepan masalah ketiadaan pelanggan.

AHMAD NAZREE SHAHABUDIN

“Dalam tempoh dua bulan sejak PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) lalu, cuma 20 pasang kasut terpakai berharga antara RM100 hingga RM120 sepasang terjual dan pulangan semula modal pusingan bertambah tenat.

“Bagaimanapun, saya tetap akur dengan penguatkuasaan semula PKP untuk tujuan mengawal penularan Covid-19 dan peniaga yang terjejas teruk perlu istiqamah di sebalik ujian dari Allah SWT ini,” katanya di sini semalam.

ZAABA MANJA

Peniaga daging pasar bandar Jerantut, Zaaba Manja berkata, penguatkuasaan PKP turut memberi kesan pasaran daging kerana ketiadaan pelanggan khususnya yang datang berbelanja dari tempat tinggal jauh seperti tanah rancangan Felda, Hulu Tembeling mahupun dari daerah berdekatan.

“Pada hari biasa sebelum dan pada Ramadan cuma seekor ternakan yang disembelih untuk dijual manakala empat ekor ternakan mampu terjual sehari sebelum Aidilfitri berbanding tahun sebelum PKP kita menyembelih dan memasarkan daging sebanyak 30 ekor ternakan,” katanya.

SABRI ABDULLAH

Sementara itu, pekerja hospitaliti di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, Sabri Abdullah berkata, sehingga kini, sektor ekopelancongan di taman hutan tropika itu terus ‘mati’ tanpa pengunjung.

“Saya dan rakan penggiat ekopelancongan serta pengusaha inap desa sudah mencongak kehadiran pengunjung domestik selepas hari raya, tetapi sangkaan kami meleset apabila kerajaan sekali lagi melaksanakan PKP.

“Apa boleh buat kita dan pengunjung perlu akur dengan arahan kerajaan walaupun kesemua penggiat dan pengusaha di sini berdepan tekanan kewangan yang cukup perit seperti membayar hutang pinjaman, membayar upah pekerja serta membiayai pengurusan lain,” katanya.

AZHARI ROSE

Bagi Pengerusi Kopkaya Kampung Relong, Lipis, Azhari Rose, sehingga kini perniagaan koperasi mampu bertahan dan boleh lagi menampung modal pusingan kerana sumber pulangan diperoleh menerusi permintaan pelanggan terhadap barang keperluan dapur dengan harga berpatutan.

“Kebanyakan pelanggan terdiri daripada penduduk berpendapatan rendah dari kawasan kampung yang lebih gemar berbelanja secara ala kadar membuat persiapan Aidilfitri dan selepas ini.

“Penguatkuasaan PKP 12 Mei lalu juga memaksa penduduk tidak bergerak lebih jauh ke bandar Kuala Lipis kerana bimbang jangkitan wabak tersebut dan selesa memilih kedai koperasi dan peruncit di tempat tinggal masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya