Ayam Golek Panglima tambat selera - Utusan Malaysia

Ayam Golek Panglima tambat selera

AMIN Izzuddin Sulaiman, 28, menunjukkan set Ayam Golek Panglima beserta kuah kacang sambil kelihatan abangnya, Mohd Nazirul Ikhwan sedang menyiapkan tempahan pelanggan ketika ditemui di Kampung Bagan Pinang Batu 3, Jalan Pantai, Taman Dato Haji Abdul Samad, Port Dickson, semalam. -UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Bagi penduduk di sekitar Bagan Pinang dekat sini, Ayam Golek Panglima tidak perlu lagi diperkenalkan kepada mereka.

Ayam golek yang diperap dengan adunan ramuan tersendiri, dinikmati pula dengan keenakan kuah kacang, menjadikan ia sentiasa dicari-cari apatah lagi ia hanya dijual pada bulan Ramadan sejak 15 tahun lalu.

Peniaga, Mohd. Nazirul Ikhwan Sulaiman, 31, berkata, memasuki bulan Ramadan, dia memang tidak menang tangan untuk menyediakan Ayam Golek Panglima yang diwarisi perniagaan itu daripada bapanya, Sulaiman Iskandar, 61.

“Asalnya bapa mula berniaga ayam percik sejak 1987 kemudian beralih menjual ayam golek ini. Resipi memang tidak berubah sejak dahulu.

“Perbezaan utama ayam golek yang kami jual ini dengan yang lain ialah kuah kacang yang digunakan, itu keistimewaannya, susah nak cari ayam golek dengan kuah kacang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Bagan Pinang Batu 3, Jalan Pantai, Taman Dato Haji Abdul Samad dekat sini semalam.

Sulaiman berkata, selain keistimewaan resipi dan rencah digunakan, Ayam Golek Panglima hanya dijual dengan ayam bersaiz ‘super’ iaitu dengan seberat seekor ayam boleh mencecah sehingga dua kilogram.

“Setakat bulan Ramadan kali ini sambutan amat menggalakkan malah setiap hari kami menyediakan kira-kira 50 ekor ayam untuk dijual. Namun jika diikutkan, tahun ini ia masih berkurangan kerana kebiasaan Ramadan sebelum ini saya mampu menjual sehingga 80 ekor sehari.

“Kami memang menjual Ayam Golek Panglima ini pada bulan puasa sahaja, namun atas permintaan pelanggan kami sudah mula menjual secara harian sejak sebulan lalu. Sambutan daripada orang ramai juga nampak menggalakkan,” katanya.

Ayam Golek Panglima dijual pada harga RM28 seekor dan RM15 untuk setengah ekor, selain dijual di gerai, perkhidmatan penghantaran ke seluruh Port Dickson dan sekitar Seremban juga disediakan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya