SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menjalankan siasatan terhadap Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung pengakuan Menteri Dalam Negeri itu mengenai campur tangan dalam pelantikan pegawai kanan institusi itu baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar berkata, rakaman suara yang tular itu jelas mendedahkan bahawa terdapat usaha terancang dilakukan oleh menteri terbabit untuk menyusun pelantikan dan penempatan pegawai-pegawai PDRM.
“Saya terbaca di laporan berita berhubung kenyataan Hamzah yang mengesahkan bahawa rakaman suara yang tular di media sosial berkaitan dirinya adalah benar.
“Rakaman suara tersebut antara lain secara jelas telah mendedahkan bahawa terdapat usaha terancang olehnya untuk menyusun pelantikan dan penempatan pegawai-pegawai PDRM.
“Perkara ini jelas satu penyalahgunaan kuasa dan campur tangan yang dilakukan oleh seorang menteri yang disyaki dengan tujuan yang tidak baik, bias dan menjejaskan serta mencalarkan imej PDRM secara keseluruhan,” katanya.
Terdahulu, Mohd. Fakhrulrazi membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini malam tadi.
Semalam, Hamzah mengakui rakaman audio perbualan mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tular ketika ini adalah suara beliau.
Malah, beliau berkata, perbualan tersebut dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang meminta senarai nama pengganti sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong tidak salah kerana ia di bawah bidang tugasnya selaku Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
Mengulas lanjut, Mohd. Fakhrulrazi berkata, pihaknya mendapati laporan pertukaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berlaku dalam masa terdekat tidak seharusnya berlaku.
“Ini kerana peruntukan dalam Seksyen 15 Akta Polis 1967 mengatakan, ketika darurat, pertukaran Ketua Polis Negara dan pegawai polis adalah tidak dibenarkan,” ujarnya.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa Selasa depan menggantikan Abdul Hamid yang bakal menamatkan kontraknya pada 4 Mei ini.
Penyerahan surat pelantikan itu diserahkan oleh Hamzah dalam majlis khas pagi di Putrajaya. – UTUSAN ONLINE