PETALING JAYA: Pasukan Kastan dan Pengawal Sempadan Amerika Syarikat (AS) telah merampas penghantaran sarung tangan getah yang dihasilkan oleh anak syarikat Top Glove Corp. Berhad di pelabuhan Missouri.
Tindakan itu dilakukan ekoran terdapat aduan bahawa sarung tangan tersebut dihasilkan menggunakan tenaga buruh paksa.
Sebanyak 4.68 juta sarung tangan getah bernilai AS$690.000 (RM2.85 juta) telah dirampas.
Sebelum itu pihak berkuasa AS itu telah menyita 3.97 juta sarung tangan bernilai AS$518,000 (RM2,13 juta) di Cleveland, Ohio, awal bulan ini.
Dalam satu kenyataan semalam, Jabatan Kastam dan Pengawal Sempadan AS (CBP) berkata, penghantaran kiriman terbaharu disita setelah pemeriksaan dilakukan di pelabuhan Kansas City.
Pengarah pelabuhan, Steven Ellis berkata, CBP tidak akan bertolak ansur dengan aktiviti buruh paksa dalam rantaian bekalan negara itu.
Perintah supaya semua produk Top Glove dirampas dikeluarkan pada 29 Mac, setelah pihak berkuasa terbabit mengatakan mereka menemui “maklumat yang mencukupi” untuk mempercayai bahawa pengeluar sarung tangan terbesar di dunia menggunakan tenaga buruh paksa dalam pengeluarannya.
Bukti tersebut termasuk pekerja diikat dengan hutang, kerja lebih masa keterlaluan, kondisi kerja dan tempat tinggal yang tidak sempurna dan memegang dokumen pengenalan diri pekerja.
Top Glove, bagaimanapun telah menjelaskan bahawa mereka telah menyelesaikan kesemua 11 petunjuk Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai buruh paksa – yang disahkan oleh perunding bebas – dan telah menghubungi pihak berkuasa AS untuk menyelesaikan masalah tersebut.