PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui dirinya sering membuat pilihan tidak kena terutama melibatkan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Musa Hitam yang kedua-duanya pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada beliau.
Dalam pertemuan eksklusif dengan Mingguan Malaysia, bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka berdua seolah-olah tidak sabar menjadi pengganti beliau apabila mahu mengambil alih jawatan nombor satu kerajaan.
Mengenai Anwar, beliau berkata, Anwar yang terkenal sebagai anti kerajaan pada awal 80-an meminta untuk masuk UMNO ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Dr. Mahathir kemudian menerimanya walaupun ramai ahli dan pemimpin UMNO tidak suka sehinggalah memberi tempat kepadanya sebagai timbalan menteri.
Bagaimanapun, menurut beliau, Anwar tetap merungut kenapa beliau tidak dipilih sebagai menteri dan tidak lama selepas itu melihat kepada sikapnya yang rajin dan komited, Anwar akhirnya dilantik sebagai menteri.
“Kemudian saya bantu dia sampai dia jadi Timbalan Perdana Menteri. Saya ingat dia tunggulah, tapi sekali lagi nampak dia punya program lambat sangat saya nak berhenti. Dia ingat dalam tempoh 10 tahun dia dapat jadi PM.
“Tapi pasal saya lambat sangat, dia hantar orang dia supaya kecam saya. Dia sendiri tak kata, dia sendiri baik. Tapi orang dia macam Zahid Hamidi apa semua ni tuduh saya ni kronisme, diktator, rasuah macam-macam buat tuduhan sampai saya tunjuk bahawa yang dapat kontrak bukan saya, Anwar punya orang. Saya tak rasuah. tapi dia dapat duit lagi,” katanya ketika ditemui di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini Selasa lalu.
Dr. Mahathir berkata, Anwar mula memberontak apabila hasratnya tidak tercapai dan kemuncaknya apabila beliau dibuang daripada UMNO kerana kes penyalahgunaan kuasa, sekali gus menubuhkan parti baharu.
“Itulah Anwar. Bila dia keluar daripada UMNO, dia tahu orang Melayu tak kan sokong dia. Buat kali pertama seorang pemimpin Melayu menubuh parti multi racial dan kecam UMNO sebagai rasis. Tapi walaupun dia kecam, saya menang juga pilihan raya dua pertiga,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Presiden PKR itu sekali lagi selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang untuk membentuk majoriti, namun Anwar tidak mahu dan menolak sama sekali pelawaan beliau.
Ditanya adakah kemungkinan penolakan Anwar itu berikutan tindakan beliau yang kerap berjanji untuk memberikan kepadanya jawatan Perdana Menteri, kata Dr. Mahathir, itu hanya persepsi orang kerana perjanjian peralihan jawatan itu telah dipersetujui awal.
“Itu perjanjian kita dan saya telah bagi tahu saya perlu masa untuk betulkan segala kesalahan Najib. Saya kata lepas mesyuarat APEC, saya letak jawatan, tapi saya tak bagi time lah. Pasal kalau bagi time bermakna saya jadi lamed duck Prime Minister, orang tak ikut apa yang saya suruh.
“Jadi saya kata lepas APEC, tapi belum sampai APEC perkara ini berlaku dan saya terpaksa letak jawatan pasal PH dah kalah. PH tak jadi kerajaan, saya tak jadi PM,” katanya.
Situasi Anwar sama seperti Tun Musa Hitam ketika Dr. Mahathir mahu mencari seorang Timbalan Perdana Menteri sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri selepas mengambil alih daripada Tun Hussein Onn.
Katanya, Musa berminat untuk jawatan itu dan beliau memenangi pertandingan jawatan, sekali gus dilantik menjadi Timblaan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, kata beliau, Musa dilihat tidak sabar untuk menggantikan beliau untuk memegang jawatan Perdana Menteri selepas kira-kira tempoh lima tahun pentadbiran mereka.
“Musa ini ingat saya jadi PM macam Tun Hussein, macam Tun Razak, cuma 5, 6 tahun macam itu sajalah. Lepas tu saya letak jawatan. Tapi sampai 5 tahun tak nampak macam letak jawatan.
“Jadi, dengan itu dia marah pada saya. Dia nak bagi saya jatuh, pasal dia timbalan, dia akan jadi PM,” katanya.
Musa bagaimanapun, kata Dr. Mahathir, membuat perancangan meminta supaya Tengku Razaleigh Hamzah bertanding dalam pemilihan parti melawan beliau, manakala Musa bertanding lawan Tun Ghafar Baba.
Namun, katanya, Musa dan Tengku Razaleigh kalah dalam pertandingan itu, oleh itu Dr. Mahathir memilih Ghafar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan sejak itu Musa hilang jawatannya.
“Tapi saya angkat dia, hantar dia pi (pergi) UN (United Nations/Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), bagi dia taraf menteri, semua saya buat. Saya tak marah pada dia. Tapi saya kata kat Musa, kalau you tunggu, dapat giliran you lah. Dia tak boleh tunggu lambat sangatlah. Mana saya nak tahu saya duduk sampai 22 tahun. Pada masa tu baru 6 tahun. Jadi dia undur diri,” katanya.
– UTUSAN