PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam terus naik dengan 519 individu ditahan berbanding 500 individu dicekup kelmarin.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 508 dikompaun manakala 11 lagi direman dengan kesalahan paling banyak gagal merekodkan butiran atau daftar masuk premis.
“Tiada rekod masuk daftar premis 207 kes, diikuti tidak mematuhi jarak fizikal (72), aktiviti pusat hiburan (60), tiada memakai pelitup muka (50) dan lain-lain (130).
“Dua orang penyeludup turut ditahan dan dua kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain sebanyak 175 bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 1,100 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya diarah kuarantin manakala 8,299 individu masih menjalani proses kuarantin.
Seramai 1,781 individu pula dibawa ke hospital manakala 183,682 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah. – UTUSAN