KEPALA BATAS: Seorang wanita cedera ekoran diserang oleh anak lelakinya dengan dua bilah pisau di sebuah rumah di Taman Orkid, di sini malam
tadi.
Kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu berlaku ketika ibu bapa suspek berusia 29 tahun itu sedang menunaikan solat tarawih berjemaah di ruang tamu rumah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek didakwa keluar dari bilik dan mengambil dua bilah pisau dapur sebelum cuba
menyerang ibu bapanya.
“Lelaki itu mengacu pisau berkenaan ke arah ibunya sebelum bapa suspek menolaknya bagi mengelakkan mereka dicederakan.
“Pisau itu kemudiannya terkena lengan ibunya yang cuba menghalang pisau dengan tangan ketika suspek terjatuh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata, akibat kejadian itu ibu suspek berusia 56 tahun mengalami luka sedalam dua sentimeter (sm) dan sepanjang 6sm pada lengan kiri serta menerima 10 jahitan.
Beliau berkata, pihaknya yang menerima laporan daripada adik perempuan suspek berjaya menahan lelaki itu di rumah berkenaan kira-kira pukul 10.15 malam.
“Kita turut merampas dua bilah pisau dapur sepanjang 27sm dan 31sm berhulu plastik.
“Siasatan lanjut turut mendapati suspek positif dadah dan mempunyai masalah mental sejak 2016,” katanya
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN