KUALA PILAH: Bagi mereka yang sering melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah di Bukit Putus, dekat sini, pemandangan orang ramai mengambil air bukit di satu lokasi di kawasan tersebut sudah menjadi kebiasaan.
Bagaimanapun, bagi sesetengah orang, pasti tertanya sama ada air tersebut bersih dan selamat untuk diminum ataupun tidak.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan orang ramai yang singgah mengambil air bukit itu memaklumkan ia mempunyai pelbagai khasiat.
Baharum Nizam Borhan, 46, berkata, dia sudah berulang-alik mengambil air bukit tersebut sejak dua tahun lalu selepas penapis air di rumahnya rosak untuk kegunaan harian.
“Pada mulanya ada kawan memberitahu, ada lokasi air bersih di Jalan Bukit Putus ini namun saya tidak pernah cuba.
“Alhamdullilah, sejak menggunakan air bukit ini saya sihat dan tidak mengalami sebarang sakit dan saya juga mengamalkan minum air ini setiap hari,” katanya ketika ditemui semalam.
Baharom Nizam memberitahu, dia pernah menyimpan selama setahun air bukit berkenaan di dalam tong dan didapati tidak berkeladak.
Sementara itu, Norana Mohd. Lajis, 47 berkata, dia mengambil air berkenaan untuk keluarganya malah turut memasak nasi menggunakan air berkenaan.
“Saya memasak nasi menggunakan air berkenaan dan nasi tidak menjadi cepat basi. Saya menganggap air bukit ini air yang bersih walaupun ada yang bercerita air ini tidak elok diminum,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap ketika dihubungi berkata, pihaknya dimaklumkan Pejabat Kesihatan Daerah ada mengeluarkan kenyataan berkenaan air tersebut yang perlu dimasak terlebih dahulu sebelum diminum.
“Namun kain rentang di lokasi berkenaan sudah ditanggalkan. Isu utamanya adalah lokasi berkenaan agak berbahaya kerana kereta diletakkan di tepi jalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE