PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada penerjun negara, Pandelela Rinong selepas merangkul pingat emas dalam acara 10 meter platform individu wanita dalam Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo, Jepun semalam.
Seri Paduka turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan atlet negara itu meraih pingat emas pertama buat skuad negara dalam kejohanan tersebut, sekali gus melakar sejarah baharu buat sukan terjun negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
“Al-Sultan Abdullah menyifatkan pencapaian Pandelela ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada beliau untuk meneruskan buruan pingat di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” titah Seri Paduka menerusi kenyataan di Facebook rasmi Istana Negara hari ini.
Titah Al-Sultan Abdullah, pencapaian cemerlang penerjun kebangsaan kelahiran Sarawak itui sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.
“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” menurut kenyataan itu.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Pandelela Rinong turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di Malaysia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.
“Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Pandelela Rinong dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama negara di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini Pandelela, 28, berjaya meraih pingat gangsa dalam acara sama pada Temasya Olimpik London 2012.
Pandelela kini yang sedang dalam persediaan ke Temasya Sukan Olimpik Tokyo mengungguli acara acara 10 meter platform individu di Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo, Jepun semalam selepas meraih 355.70 mata.
Beliau mengatasi penerjun tuan rumah, Matsuri Arai (342.00 mata) dan Caeli McKay dari Kanada (338.55 mata), masing-masing merangkul tempat kedua dan ketiga. – UTUSAN