PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas pencerobohan serta keganasan tentera Israel terhadap Masjid al-Aqsa dan Semenanjung Gaza.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah menyifatkan pencerobohan dan serangan berterusan terhadap tempat suci umat Islam yang ketiga itu dan rakyat Palestin pada hari-hari terakhir bulan Ramadan sebagai perbuatan keji, zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Lanjutan kepada perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Palestin, Seri Paduka menzahirkan sokongan supaya negara ini menerajui bersama-sama Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengutuk serangan zalim rejim zionis Israel ke atas Palestin.
“Seri Paduka turut menegaskan kerajaan Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk persidangan tergempar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) diadakan bagi membincangkan isu keganasan Israel terhadap Palestin yang dijadualkan hari ini,” katanya di sini hari ini.
Kenyataan itu hadir susulan laporan media antarabangsa berhubung konflik antara Israel yang terus melancarkan serangan udara terhadap Gaza, Palestin sehingga hari ini.
Ketegangan antara kedua-dua negara tersebut yang bermula sejak Isnin minggu lalu, semakin meningkat sehingga Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran ia bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran.
Siri keganasan itu meletus selepas konflik Israel-Palestin meningkat di Baitulmuqaddis Timur berikutan pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Asqa dan menyerang penduduk Palestin.
Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut menzahirkan harapan supaya rakyat Malaysia terus memperjuang prinsip keadilan dan sikap hormat-menghormati di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.
Malah, Al-Sultan Abdullah bertitah, rakyat Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin ke arah mencapai aspirasi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota negara itu.
“Ini juga adalah selari dengan pendirian dan prinsip kerajaan Malaysia yang tidak berbelah bagi menyokong usaha-usaha penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka, selaras dengan undang-undang dan inisiatif di peringkat antarabangsa,” katanya.
Seri Paduka turut menitahkan masjid dan surau serta rakyat di negara ini mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat maghrib esok (17 Mei), bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel.
“Seri Paduka menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama-sama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel,” katanya. – UTUSAN ONLINE