KOTA BHARU: Setiap kali media melaporkan mengenai bedilan roket tentera Zionis ke arah penempatan rakyat Palestin, hati Abdallah Ismail yang tinggal di Kampung Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini resah dan berkecamuk.
Lelaki berusia 35 tahun berasal dari Semenanjung Gaza itu mengakui, dia tidak lena tidur memikirkan nasib keluarga yang masih terperangkap di wilayah bergolak itu, terutama ibunya yang sudah tua.
Abdallah yang fasih loghat Kelantan dan digelar Abe Loh oleh penduduk setempat berkata, paling meruntun hatinya apabila ibunya dikhabarkan memilih untuk berpuasa setiap hari kerana hilang selera makan dan trauma mendengar bedilan.
“Setiap hari pada setiap masa, saya ambil kesempatan mendoakan keselamatan ibu, keluarga, sahabat serta seluruh rakyat Palestin agar mereka terselamat daripada bedilan roket atau serangan bom tentera Israel.
“Saya lega apabila masih dapat berhubung dengan ahli keluarga dan rakan-rakan bagi mendapat perkembangan terkini melalui kaedah tertentu dan seterusnya menghebahkan situasi sebenar kepada dunia menerusi ‘live’ di Facebook.
“Mereka yang ada di Gaza sekarang berada dalam keadaan cukup tertekan dan mengharapkan doa seluruh umat Islam. Doa adalah senjata paling hebat selain keberanian para mujahidin melawan tentera Israel,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Abdallah terpisah dengan keluarganya dan tiba di Malaysia seorang diri pada 2014 sebelum memilih menetap di Kelantan sehingga sekarang.
Media semalam melaporkan mengenai Abdallah yang mencari rezeki dengan berniaga di negeri ini bertekad menggunakan laman sosial Facebook sebagai platform untuk dia mendedahkan kekejaman rejim zionis dalam loghat Kelantan.
Bercerita lanjut, Abdallah berkata, selagi terdaya dia akan berusaha memberitahu dunia perkara sebenar di Gaza yang cuba disorokkan media antarabangsa apabila menggambarkan perjuangan rakyat Palestin sebagai gerakan ‘militan’.
“Mereka di Gaza memerlukan pelbagai jenis bantuan seperti wang, ubat-ubatan dan makanan tetapi bantuan paling utama ketika ini adalah doa daripada umat Islam yang ada di seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN ONLINE