PUTRAJAYA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara amat perlu kerana situasi semasa wabak Covid-19 pada masa ini adalah kritikal jika lewat ditangani.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, berdasarkan penilaian penularan R1.2 pada ketika ini, Malaysia malahan dijangka boleh mencatatkan puluhan ribu kes sehari.
Keadaan pada masa ini juga jelasnya, memerlukan langkah lebih tegas oleh pihak kerajaan dan PKP 3.0 kali ini sebagai usaha pencegahan ekoran peningkatan kes begitu mendadak.
“Jika dilihat data nilai penularan itu, negara kita diunjurkan mencatat lebih 87,000 kes pada satu masa sekitar akhir bulan depan sekiranya tidak dapat dibendung lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Vaksin SinoVac Siap Dikilang Oleh Pharmaniaga Berhad untuk program vaksinasi Kementerian Kesihatan di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 lebih tegas di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun ini termasuk aktiviti Aidilfitri.
Mengulas lanjut, Adham memberi contoh jumlah katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di Selangor, Kuala Lumpur, Sarawak, Kelantan, Melaka, Kedah dan Pulau Pinang semakin penuh diisi.
“Jumlahnya sudah cecah 70 peratus dan ada beberapa hospital di negeri terbabit yang telah penuh lebih 100 peratus apabila berlaku pertambahan ketara pesakit Covid-19,” jelas beliau.
Keadaan itu katanya, menyaksikan negeri-negeri terlibat memerlukan segera sejumlah 1,743 katil ICU berbanding hanya 732 katil sedia ada ketika ini di semua fasiliti kesihatan terbabit.
Beliau turut mengesahkan peningkatan kes dengan majoriti disebabkan penularan sporadik atau tidak jelas diketahui dalam komuniti sekitar 90 peratus melibatkan pesakit warganegara.
“Trend pertambahan kes berlaku hampir semua negeri dan berdasarkan formula Pertubuhan Kesihatan Sedunia, bagi setiap kes ada potensi antara 10 hingga 30 kontak rapat,” katanya.
Keadaan semasa ujar Adham, diburukkan lagi dengan penemuan varian baharu yang bersifat mutasi berganda antaranya dari Britain apabila dikesan sudah meluas di Sabah dan Selangor.
Begitu juga varian dibimbangkan yang dibawa dari Afrika Selatan kata beliau, apabila kini telah pun dilaporkan penularannya di seluruh Selangor, Perak, Kelantan dan Negeri Sembilan.
Justeru, beliau menegaskan, pelaksanaan PKP 3.0 selama 27 hari itu sebagai langkah pencegahan dan pemutus rantaian wabak itu selain keseragaman prosedur di semua peringkat. – UTUSAN