KOTA BHARU: Seramai 80 lagi individu di kepulauan Delta Kelantan, Tumpat disahkan positif Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan dijangkiti pandemik itu meningkat kepada 111 orang.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, jumlah itu melibatkan penduduk di Teluk Renjuna, Pantai Haji Nik Mat, Pulau Beluru dan Pantai Suri yang kesemuanya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Hari ini sebanyak 600 ujian saringan dilakukan ke atas penduduk di kawasan tersebut.
“Untuk makluman, kita sedang menunggu kira-kira 1,000 lagi keputusan ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk dua hari lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dr. Zaini turut memuji kerjasama penduduk di empat lokaliti tersebut ketika diminta menjalani ujian saringan, sekali gus memudahkan tugas kakitangan kesihatan untuk mengekang penularan pandemik.
“Saya harap penduduk terus ‘menjiwai’ prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian pandemik,” ujarnya.
Akibat penularan pandemik secara mendadak selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu lalu, kawasan itu yang turut digelar Kepulauan Tumpat dikenakan PKPD mulai 22 Mei hingga 4 Jun depan. – UTUSAN